Fahmi Fadzil
Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR – Kira-kira 2,000 pengundi cabang Lembah Pantai dijangka turun untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing sebagai ahli sempena Pemilihan Parti Keadilan (PKR).

Calon Majlis Pimpinan Pusat PKR, Fahmi Fadzil berkata, jumlah tersebut merupakan sebahagian daripada 6,000 ahli berdaftar yang direkod di cabang tersebut.

“Trend mengundi biasanya dari 25 hingga 35 peratus. Itu biasa berlaku pada setiap tahun tahun dan tidak kurang daripada 10 peratus jumlah pengundi yang akan keluar,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui di pusat pemilihan cabang itu di sini hari ini.

Fahmi berkata, beliau melihat pemilihan hari ini berjalan dalam situasi yang tenang dan menyifatkan ia sebagai satu persaingan yang sihat.

Meskipun ada berlaku sedikit kekecohan di awal pengundian di cabang tersebut, namun ia dapat diredakan dalam situasi yang baik.

“Persaingan yang sihat walaupun pada mulanya tadi ada masalah dengan sistem dan kelancaran tetapi ia dapat dikawal,” ujarnya.

Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata, beliau telah berada di pusat pengundian di situ sejak pukul 9 pagi tetapi masih belum berkesempatan untuk memilih.

Proses memilih kepemimpinan PKR bagi Wilayah Persekutuan bermula hari ini melibatkan 34,892 ahli dari 13 cabang parti itu.

Cabang berkenaan ialah Kepong, Batu, Wangsa Maju, Segambut, Setiawangsa, Titiwangsa, Bukit Bintang, Lembah Pantai, Seputeh, Cheras, Bandar Tun Razak, Labuan dan Putrajaya.

Pemilihan bermula jam 10 pagi ini dan dijangka tamat 5 petang ini.

Willayah Persekutuan merupakan negeri keenam yang melaksanakan proses pemilihan yang pertama kali dilaksanakan secara ‘e-undi’.

Semalam,proses pemilihan di Pahang menyaksikan Rafizi menewaskan pencabarnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dengan kemenangan tipis.

Bekas anggota Parlimen Pandan itu juga mendahului Mohamed Azmin bagi pemilihan di negeri Kelantan dan Terengganu yang dijalankan Jumaat lalu.

Negeri lain yang telah melaksanakan pemilihan ialah Pulau Pinang dan Johor. – MalaysiaGazette