Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar US hari ini, walaupun Amerika Syarikat (AS) dijangka mengumumkan satu lagi kenaikan tarif ke atas barangan China pada awal Disember. 
. Ringgit dijangka didagangkan pada paras 4.165 hingga 4.185 pada minggu depan, didorong oleh faktor luaran termasuk hala tuju dolar Amerika Syarikat (AS) serta harga minyak, kata penganalisis.-Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Ringgit dijangka didagangkan antara 4.14 dan 4.16 berbanding dolar US minggu depan, berikutan minat belian yang kukuh terhadap dolar US, kata Ketua Dagangan OANDA di Asia-Pasifik, Stephen Innes.

Katanya, adalah sesuatu yang mencabar untuk ringgit terus tinggi di tengah-tengah ketegangan perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China dan kebimbangan terhadap peningkatan kadar faedah yang cepat di AS.

“Persekitaran luar tidak selalunya baik untuk mata wang pasaran baru muncul (EM) Asia, termasuk ringgit. Pelabur membeli dolar US di atas penurunan harga saham,” kata Innes kepada Bernama.

Di peringkat dalam negeri katanya, dengan fokus kepada pembentangan Bajet 2019, ia akan meletakkan lebih tekanan kepada kerajaan untuk memberikan langkah fiskal yang berhemah.

“Walaupun terma perdagangan kekal menggalakkan berikutan kenaikan harga minyak, pertumbuhan yang lemah mungkin negatif kepada ringgit kerana ia boleh mencetuskan maklum balas penurunan kadar faedah daripada Bank Negara Malaysia,” tambahnya.

Sementara itu, Penganalisa Kajian FXTM, Lukman Otunuga, berkata di tengah-tengah persekitaran global yang mencabar, prestasi ringgit secara relatifnya lebih baik berbanding mata wang EM lain, melihat kepada fakta bahawa Malaysia mempunyai lebihan akaun semasa.

“Dolar US kekal sebagai ancaman kepada peningkatan keuntungan. Secara teknikal, trajektori dolar US-ringgit mungkin dipengaruhi oleh laporan terkini pekerjaan di AS.

“Peniaga akan terus meneliti dengan dekat bagaimana harga bertindak apabila ringgit mencecah tahap sokongan 4.1400,” kata Lukman.

Asas Jumaat ke Jumaat, ringgit susut kepada 4.1440/1490 berbanding dolar US daripada 4.1370/1400.

Bagaimanapun, ringgit kebanyakan tinggi berbanding beberapa mata wang utama.

Ringgit meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.6383/6443 daripada 3.6472/6501 Jumaat lepas dan lebih baik berbanding euro pada 4.7639/7714 daripada 4.7969/7007.

Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 2.9975/3.0022 daripada 3.0232/0263 tetapi susut berbanding pound British kepada 5.4017/4091 daripada 5.3984/3044. – MalaysiaGazette