Calon Pakatan Harapan P.132 Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tiga kanan) menyempurnakan gimik perasmian pra pelancaran buku terjemahan tamil sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) P.132 Port Dickson pada Ceramah Komuniti India di Ladang Siliau, Port Dickson, Negeri Sembilan. foto SYAFIQ AMBAK, 07 OKTOBER 2018.

PORT DICKSON – Tidak pasti lagi berapa ramai yang sedia maklum mengenai sebuah buku berjudul ‘Asian Renaissance’ hasil penulisan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1998.

Ketika itu Anwar Ibrahim merupakan Menteri Kewangan Malaysia.

Malah pada tahun yang sama, buku yang sama telah diterjemahkan dalam bahasa Tamil oleh mendiang Athi Kumanan, aktivis dan penulis Tamil.

Malangnya usaha ke arah penerbitan dan pengeluaran buku itu terhenti di situ setelah Anwar dipenjarakan atas konflik politik.

Bagaimanapun selepas 20 tahun berlalu, kini karya Anwar versi Tamil itu diberi nafas baharu apabila bakal menemui pembaca dalam bentuk buku tidak lama lagi.

Karya terjemahan sebanyak 220 muka surat itu diperkenalkan dalam pra-pelancaran yang telah disempurnakan sendiri oleh Anwar semasa kempen selaku calon Pakatan Harapan di hadapan kira-kira 500 orang India semasa kempen di Ladang Siliau, Lukut malam tadi.

Anwar ditanya mengenai perasaannya setelah merasmikan sendiri pra pelancaran buku terjemahan Tamil dari hasil karyanya itu.

Katanya beliau terpegun apabila buku nukilan dalam Inggeris yang diterjemahkan dalam Tamil kini diperkenalkan sendiri selepas 20 tahun.

“Tidak ada kata-kata, saya sangat gembira dengan (buku versi Tamil) itu tadi,” katanya dengan senyuman ringkas sebelum meninggalkan dewan majlis itu.

Anwar hadir ke Perjumpaan bersama komuniti India di Ladang Siliau, segak berpakaian tradisional India, Kurtha

Dalam pada itu Penasihat Undang-Undang Akhbar Tamil Malar, Saraswathy Kandasamy berkata, pihaknya bersama Pengerusi akhbar itu, OMS Thiagaran dan Pengarah Urusan Tamil Malar M.Periyasamy memikul tugas menguruskan pelancaran rasmi buku itu yang dijangkakan selepas selesai Pilihan Raya Kecil Port Dickson 13 Oktober ini.

“Impian 20 tahun bakal menjadi nyata apabila pelancaran rasmi buku itu secara besar-besaran juga akan disempurnakan oleh Anwar sendiri.

“Sepatutnya kami merancang pelancarannya kali pertama pada September 1998, tetapi tidak kesampaian selepas Anwar dipenjarakan.

“Malah penulis versi Tamil Athi Kumanan juga tidak bersama kita lagi kerana sudah meninggal dunia pada tahun 2005,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini.

MGF07102018_CERAMAH KOMUNITI INDIA05
Calon Pakatan Harapan P.132 Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) P.132 Port Dickson pada Ceramah Komuniti India di Ladang Siliau, Port Dickson, Negeri Sembilan. foto SYAFIQ AMBAK, 07 OKTOBER 2018.

Pihaknya, kata beliau, terlibat dalam usaha untuk menerbitkannya pada tahun 2012 dengan kerjasama OMS Thiagarajan sekali lagi.

“Usaha itu sekali lagi terhalang selepas Anwar dipenjarakan kali kedua.

“Saya rasa tidak keterlaluan apabila membaca dan menyelami buku itu dan ikhlas kata saya telah membaca Asian Renaissance lebih kerap berbanding persiapan untuk peperiksaan Sarjana Undang-Undang saya ketika itu,” katanya.

MGF07102018_CERAMAH KOMUNITI INDIA01
Calon Pakatan Harapan P.132 Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra dengan kaum india sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) P.132 Port Dickson pada Ceramah Komuniti India di Ladang Siliau, Port Dickson, Negeri Sembilan. foto SYAFIQ AMBAK, 07 OKTOBER 2018.

Katanya beliau pernah sedih dan kecewa kerana tidak dapat menyampaikan buku versi Tamil it tepat pada masa untuk tatapan pembaca komuniti Tamil.

Ujarnya, pihaknya mula mengeluarkan kandungan versi Tamil itu dalam bentuk siri di akhbar Tamil Malar dan mendapat sambutan luar biasa pembaca.

Namun ia tidak bertahan lama selepas menerima sekatan dari kerajaan terdahulu ketika itu.

Tanpa berputus asa kami merancang untuk melancarkannya pada 29 September lalu, tetapi disebabkan penamaan calon, Anwar sendiri meminta menunda ke suatu tarikh selepas PRK.

“Buku itu membincangkan falsafah tokoh terkenal di dunia dan Anwar memetik fikiran dan ideologi tokoh tokoh terkemuka ini bagi tujuan kemajuan masyarakat majmuk di Malaysia,” ujar beliau.- MalaysiaGazette