Mohd Anuar mengesahkan Hamzah sudah keluar PAN.
Mohd Anuar mengesahkan Hamzah sudah keluar PAN.

KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (PAN) mengutuk keras tindakan kerajaan Mesir pimpinan Abdel Fattah Al-Sisi yang menjatuhkan hukuman mati kepada 75 pemimpin dan penyokong Ikhwan Muslimin termasuk sejumlah wartawan atas tuduhan terlibat dengan demostrasi membantah penggulingan Presiden Mohamed Morsi pada 2013.

Malah dalam perkembangan terbaru, beberapa pimpinan utama gerakan itu termasuk Mursyidul Am Ikhwanul Muslimin, Mohamed Badie dilaporkan akan dibicarakan semula bulan ini dengan pindaan dan penambahan pertuduhan baharu ke atas mereka.

Setiausaha Agung PAN, Mohd Anuar Tahir berkata, parti itu melihat hukuman mati terhadap pemimpin dan penyokong Ikhwan Muslimin itu hanya kerana terlibat menganjurkan demonstrasi aman, sebagai tidak lebih daripada tindakan politik semata-mata dalam usaha melenyapkan pertubuhan Islam tersohor itu di Mesir dan juga di serata dunia.

Katanya, rejim Mesir sebelum ini juga telah mengharamkan Ikhwanul Muslimin dan mendakwa pertubuhan itu sebagai kumpulan pengganas.

Sehubungan itu, kata beliau, PAN mendesak badan-badan hak asasi dunia termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Kesatuan Eropah (EU) untuk turut memainkan peranan agar keadilan diberikan kepada pemimpin dan penyokong Ikhwan Muslimin yang terlibat. – MalaysiaGazette