Khalid Abdul Samad
Khalid Abdul Samad.

KUALA LUMPUR – Kementerian Wilayah Persekutuan tidak menolak untuk membenarkan penganjuran pesta arak atau Oktoberfest di sebuah pusat beli-belah di ibu negara sekiranya pihak penganjur mengemukakan permohonan.

Menterinya, Khalid Abdul Samad bagaimanapun berkata, mana-mana permohonan festival itu yang diluluskan kelak perlu mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh Dewan bandaray Kuala Lumpur (DBKL).

“Kalau betul nak buat (Oktoberfest) kena buat permohonan, kalau tak buat permohonan, kita tidak akan benarkan.

“Kalau buat permohonan kena ikut garis panduan yang kita tetapkan sama seperti mana di Selangor.

“Selagi dia patuhi garis panduan itu, okay lah,” katanya pada sidang media di bangunan DBKL, di sini, hari ini.

Beliau mengulas penularan mesej Whatsapp sejak beberapa hari lepas mendakwa pihak penganjur pesta arak bakal mengadakan Oktoberfest di pusat beli-belah Mid Valley, bulan ini.

Khalid berkata, mana-mana penganjur yang mahu mengadakan pesta arak disyaratkan mematuhi garis panduan pihak berkuasa tempatan itu dan jika gagal berbuat demikian permohonan akan ditarik balik serta-merta.

“Garis panduannya ia dibuat terkawal dan bukan dibuat dalam khalayak ramai, tak dibenarkan orang Islam hadir,” katanya.

Bagaimanpun katanya, DBKL perlu mengesahkan dakwaan berita mengenai penganjuran Oktoberfest terlebih dahulu sebelum mengambil tindakan jika ia dibuat tanpa pengetahuan DBKL.

“Kita akan periksa dan sahkan betul atau tidak, mana kamu dapat maklumat akan ada Oktoberfest  itu dalam Whatsapp itu betul ke maklumat itu ataupun sengaja timbulkan isu.

“Kita akan jumpa pihak yang kononnya nak anjurkan Oktoberfest itu dan kita sahkan lah

“Apa pun kita kena sahkan dulu ada ataupun tidak,” katanya.

Sementera itu, Datuk Bandar DBKL, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan pada sidang media sama mengesahkan sehingga kini pihaknya tidak menerima sebarang permohonan untuk menganjurkan Oktoberfest.

“Hingga saat ini tiada permohonan dikemukakan untuk buat Oktoberfest. Kita kena pastikan apa juga mereka nak buat mesti dapat lesen walaupun ia kedai alkohol mesti dapat lesen dulu.

“Sekarang kita sudah tahu perkara ini, lepas ini kita akan ambil tindakan dan pihak DBKL akan pergi ke tempat itu (Mid Valley),” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast