Najib Razak
Datuk Seri Najib Tun Razak

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak menolak dakwaan bahawa Gamuda-MMC, yang kontraknya ditamatkan oleh Putrajaya bagi mengurangkan kos projek MRT 2, merupakan kroni beliau dan rapat dengan UMNO.

Menerusi laman Facebook, bekas perdana menteri itu memuat naik imej 30 pemegang saham terbesar Gamuda termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Permodalan Nasional Berhad (PNB), Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) dan syarikat insurans.

“Saya lihat ada yang mengkritik saya apabila saya meluahkan kesedihan pakej MRT2 yang diperolehi Gamuda-MMC secara tender terbuka ditarik balik di mana 20,000 pekerja dan 600 lagi syarikat tempatan akan hilang punca pendapatan begitu sahaja.

“Mereka menuduh Gamuda ini kroni saya atau kroni UMNO.

“Ini ialah senarai 30 pemegang saham terbesar Gamuda. Adakah kroni saya KWSP, PNB, KWAP, unit amanah swasta ataupun syarikat insuran hayat?,” katanya menerusi posting terbaru di laman sosial berkenaan.

Najib membuat kenyataan itu berikutan kritikan dalam kalangan pengguna media sosial selepas beliau memuatnaik status bahawa penamatan kontrak Gamuda-MMC untuk membina bahagian bawah tanah projek MRT 2 akan mengakibatkan kehilangan pekerjaan serta merta lebih 20,000 orang yang terlibat dalam projek berkenaan.

“Tidak. Semua ini akhirnya dipegang oleh rakyat dan manfaat dipulangkan kepada rakyat sendiri,” tulis beliau.

Najib yang juga merupakan bekas menteri kewangan mendedahkan kontrak tersebut diberikan kepada Gamuda-MMC melalui tender terbuka antarabangsa yang menyaksikan bidaan daripada syarikat gergasi dari China, Jepun dan Korea Selatan.

Katanya, keputusan kementerian kewangan menender semula kerja bawah tanah yang belum siap melalui proses tender terbuka antarabangsa berikutan penamatan kontrak berkenaan tidak menjamin kos yang lebih rendah daripada harga ditawarkan oleh Gamuda-MMC.

Ahad lepas, Putrajaya mengumumkan penamatan kontrak Gamuda-MMC selepas kedua-dua pihak gagal mencapai persetujuan.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, keputusan itu dibuat kerana kerajaan percaya ia boleh ‘membuat penjimatan besar’ dengan menender semula pakej kerja bawah tanah itu. – MalaysiaGazette

http://malaysiagazette.com/blog/2018/10/09/najib-kecewa-projek-mrt2-dibatalkan/