Mahathir
Perdana Menteri merangkap Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamad berucap pada Ceramah Mega Pakatan Harapan sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) P.132 Port Dickson di PD Waterfront, Port Dickson, Negeri Sembilan. foto SYAFIQ AMBAK, 08 OKTOBER 2018.

PORT DICKSON – Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menerima ‘ugutan’ daripada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di hadapan lebih 3,000 penonton.

Menurut Dr Mahathir, Guan Eng akan dikenakan ‘hukuman tembak’ sekiranya negara tidak mencapai lebihan pendapatan tidak lama lagi.

“Soal kewangan kita serah kepada Lim Guan Eng kerana dia dapat jadikan kerajaan negeri Pulau Pinang mempunyai surplus (lebihan pendapatan).

“Kita harap dapat surplus tidak lama lagi. Kalau tidak saya tembak dia,” katanya sinis dalam ucapan Ceramah Mega PRK Port Dickson bersama beliau dan Datuk Seri Anwar Ibrahim di bilik gerakan utama PH, di Teluk Kemang.

Guan Eng dilantik sebagai Menteri Kewangan pada 13 Mei lalu oleh Dr Mahathir sejurus Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) lalu.

Bulan lalu, Guan Eng berkata, ekonomi Malaysia secara asasnya kukuh dan mempunyai daya tahan yang tinggi walaupun terdapat ketidaktentuan dalam perkembangan global.

Dengan asas ekonomi yang kukuh, tadbir urus yang baik dan kebertanggungjawaban fiskal, Malaysia hanya mempunyai satu arah sahaja, iaitu ke hadapan, katanya.

Guan Eng berkata, kedudukan rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) bernilai AS$104.4 bilion mencukupi untuk mengendalikan transaksi antarabangsa. – MalaysiaGazette