Dr Asyraf Wajdi Dusuki
Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Sudah tiba masanya kerajaan Pakatan Harapan (PH) menukar strategi mereka yang baharu, daripada asyik meneruskan pendekatan mencari salah dan kelemahan kerajaan terdahulu.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, sudah lima bulan kerajaan PH berkuasa, bukan masanya lagi dengan tahap pemikiran yang lama ketika masih menjadi pembangkang sebelum ini.

“Sudah hampir lima bulan memerintah dan berkuasa, daripada mereka meneruskan pendekatan mencari salah dan menyelongkar segala kelemahan kerajaan lalu, apa kiranya mereka memikirkan kaedah baharu.

“Rakyat sedang menantikan apa sebenarnya program, dasar dan nilai baharu yang ada “wow” yang boleh menyelesaikan pelbagai isu mereka.

“Selama ini, ketika menjadi pembangkang, mereka menyalahkan kerajaan yang ada pada waktu itu dan pada hari ini pun ketika mereka menjadi kerajaan, mereka masih menyalahkan kerajaan terdahulu,” katanya pada sidang media dipejabatnya di sini, hari ini.

Jelas beliau, cadangan kerajaan PH hendak memperkenalkan cukai baharu untuk menambah hasil pendapatan negara sudah tentu akan membebankan rakyat.

Kata Dr Asyraf Wajdi, paling penting kerajaan sebelum ini tidak pernah ada masalah dalam menguruskan kewangan negara, bahkan sentiasa mendapat pengiktirafan peringkat antarabngsa, IMF dan dunia.

“Kita tidak pernah berhadapan dengan isu penarafan dari segi ancaman tanda merah berkenaan hutang negara..hutang negara kita tidak pernah melebihi 55 peratus dari KDNK.

“Saya kira itu salah satu sebab kenapa kebijaksanaan kerajaan terdahulu menguruskan kewangan negara telah memungkinkan kita memberikan pulangan balik kepada rakyat.

“Pulangan dalam bentuk perkhidmatan sehinggalah ke peringkat BR1M dan sebagainya yang akhirnya secara umum kita melihat kesan gandaan yang positif kepada ekonomi negara,” katanya. – MalaysiaGazette