Ketua Umum PKR merangkap calon Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Ceramah Mega Pakatan Harapan sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) P.132 Port Dickson di PD Waterfront, Port Dickson, Negeri Sembilan. foto FAREEZ FADZIL, 08 OKTOBER 2018

PORT DICKSON – Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson, Deputi Superintendan Mohd Faisal Mohd Noor berkata Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memberikan keterangan berhubung isu liwat melibatkan seorang pelajar warga Indonesia di Singapura, baru-baru ini.

Menurut Mohd Faisal, perkara itu dimaklumkan oleh pegawai Anwar kepada pihak polis memandangkan beliau sibuk dengan jadual kempen sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson

“Sehingga sekarang Datuk Seri Anwar belum kita dapat ambil keterangan dia lagi. Memandangkan dia sibuk berkempen.

“Tetapi saya dimaklumkan oleh wakil beliau, memang dia akan beri kerjasama pada polis untuk diambil keterangan.

“Keterangan Datuk Seri Anwar akan diambil sebelum hari mengundi di PRK Port Dickson. Saya dimaklumkan oleh wakil beliau, Datuk Seri Anwar akan beri kerjasama sebelum hari mengundi 13 Oktober depan,” katanya ketika ditemui media setelah meninjau perkembangan proses pengundian awal di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson sebentar tadi.

Anwar sebelum ini dipanggil Jumaat lagi mendapatkan keterangan berhubung status kontroversi dimuat naik Presiden Pemantau Malaysia Baharu, Datuk Lokman Noor Adam.

Status itu mendakwa Anwar disiasat pihak berkuasa Singapura kerana terlibat dalam kes liwat di negara tersebut.

Sehingga kini polis sudah memanggil mengambil keterangan empat individu antaranya, Pengarah Komunikasi PKR, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil dan dua lagi daripada agensi media tempatan dan Singapura termasuk Lokman sendiri.

Media Singapura, Berita Mediacorp, yang merupakan sebuah portal berita di bawah syarikat Mediacorp sebelum ini menafikan sumber kepada laporan tersebut.

Dalam pada itu, Mohd Faisal berkata sebanyak 60 permit ceramah susah dikeluarkan pihak polis sepanjang tempoh berkenan sehingga hari ini.

Jumlah permit terbanyak adalah melibatkan gabungan Pakatan Harapan (PH) dengan 32 permit.

“Sepanjang tempoh berkempen yang dibenarkan SPR, sehingga hari ini kita telah keluarkan sebanyak 60 permit untuk ceramah yang mana melihatkan 32 untuk Pakatan Harapan, 9 untuk Pas dan dan 19 untuk calon bebas, Tan Sri Isa Samad.

“Dalam tempoh berkenaan terdapat tiga kes yang kita buka yang mana seperti di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, bersama Akta 500, dan terkini semalam dimana laporan polis yang dibuat oleh calon bebas, Stevie Chan dibawah Seksyen 10 (a) Akta Pilihan Raya (Akta 5).

“Sepanjang tempoh berkempen tidak ada perkara yang tidak diingini berlaku, semuanya berjalan dengan lancar dan saya sarankan kepada calon supaya memaklumkan kepada semua penyokong untuk mematuhi segala arahan dan juga undang-undang bagi melancarkan hari pengundian nanti,” katanya. -MalaysiaGazette