Datuk Darell Leiking.
Darell Leiking

KUALA LUMPUR- Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri akan sentiasa mempertahankan pelabur namun begitu pelabur sendiri mestilah mematuhi undang-undang terkini di negara ini.

Menterinya, Datuk Darell Leiking ketika menjawab satu soalan mengenai nasib Lynas Corporation dalam sesi perbincangan sempena forum Malaysia: Harapan Baharu,  menegaskan keputusan mengenai syarikat tersebut diserahkan sepenuhnya kepada jawatankuasa yang bertanggungjawab.

“Isu Lynas melibatkan pelbagai kementerian tetapi kami di MITI sentiasa menyokong pelabur asalkan mereka mematuhi peraturan negara ini tetapi mengenai nasib Lynas, ianya terserah kepada jawatankuasa yang telah ditubuhkan.

“Kami telah memberikan input yang diperlukan jawatankuasa tersebut dan marilah kita letakkan kepercayaan kepada mereka,” katanya.

Jawatankuasa bagi mengkaji projek Lynas diketuai oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Saleh.

Dalam perkembangan berbeza, Darell berkata, MITI sedang mempertimbangkan cadangan supaya hanya satu agensi promosi pelaburan sahaja dibenarkan untuk meluluskan pelaburan serta memberi manfaat atau insentif kepada pelabur.

Jelasnya, terlalu banyak agensi yang mempunyai kuasa sedemikian menyebabkan persaingan yang tidak sihat bagi sektor pelaburan negara.

“Saya memang betul-betul mahu lakukannya (penggabungan) supaya hanya satu agensi sahaja yang boleh membuat keputusan dalam memberikan insentif kepada pelabur.

“Ini kerana jika terlalu banyak agensi, para pelabur akan merayu dan memilih agensi tertentu sahaja yang boleh memberikan insentif terbaik kepada mereka,” katanya.-MalaysiaGazette