Rafidah Aziz

KUALA LUMPUR – Sektor swasta diminta jangan ragu-ragu untuk menegur kerajaan jika ia melakukan perkara-perkara yang salah dan bertentangan.

Tan Sri Rafidah Aziz berkata, sektor swasta boleh memberi memo dalam usaha memberi kritikan konstruktif.

“Anda boleh memberi kerajaan memo untuk menegur atau memberi kritikan konstruktif yang bukan bermotifkan politik,” kata Pengerusi AirAsia X itu ketika sesi perbincangan dalam Persidangan Pelaburan anjuran Kementerian Kewangan di sini.

Kerajaan pula, tegur Rafidah, jangan pula melihat tindakan itu sebagai hukuman dengan tidak memberi tender atau pilih kasih.

“Tak pilih-pilih kasih lagi selepas ini, beri peluang dan ruang kepada sektor swasta untuk memberi teguran, menilai kerajaan.

“Kerajaan sekarang perlu ingat anda diberi mandat bukan sekadar memerintah tetapi juga sebagai pendengar,” tambah beliau.

Dalam pada itu, Rafidah berkata, sudah sampai masanya kerajaan mempertimbangkan supaya semua syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC) ditukarkan nama kepada syarikat-syarikat berkaitan pembangunan.

Jelasnya, nama GLC itu telah memberi isyarat yang salah tentang penglibatan kerajaan dalam syarikat.

“Kerajaan…kerajaanlah, mengapa perlu ada kaitan dengan syarikat. Bagaimana hendak jadi profesional kalau syarikat ada kaitan dengan kerajaan.

“Perkara-perkara beginilah yang menyebabkan GLC dipolitikkan,” tegurnya.

Menurut beliau, dengan nama itu peneraju-peneraju syarikat berkenaan lebih jelas hala tuju dan objektif firma-firma yang dipimpin oleh mereka. – MalaysiaGazette