Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa PAS supaya PAS berhenti menggunakan politik sebagai gelanggang untuk menabur fitnah dan pembohongan.

PORT DICKSON – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jentera Pakatan Harapan (PH) masih belum cukup agresif mendekati pengundi-pengundi Parliman Port Dickson.

Calon PH bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Port Dickson itu berkata, jentera perlu menyusun jentera dan strategi pada tahap terbaik menjelang dua hari lagi tempoh berkempen.

Menurutnya, tidak ada gunanya kalau jentera berhempas pulas sekiranya tidak turun mengundi dan beliau tidak mendapat majoriti undi yang diharapkan.

Justeru, beliau mengingatkan jentera PH di peringkat akar umbi dan tertinggi jangan cuai, jangan terbuai.

“Tidak ada gunanya jika kita berada di pihak yang benar tetapi jentera kucar-kacir, strategi lemah, perpaduan tidak utuh dan kerja tidak berasaskan perjuangan ikhlas.

“Kita ada beberapa hari sahaja lagi (sebelum mengundi), jentera kena cecah setiap rumah ke rumah dan beri maklum balas apa yang harus dilakukan oleh pucuk parti dalam memastikan pengundi keluar beramai-ramai pada Sabtu ini.

“Jentera di setiap Dewan Undangan Negeri perlu membantu saya mendekati pengundi dan setiap gerak kerja perlu berkesan, bayangkan saya berhempas pulas datang bertanding di PD jika tidak ada hasilnya siapalah saya?,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberi amanat kepada lebih 200 orang ahli jentera PH di Bilik Gerakan Utama di sini. – MalaysiaGazette