Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Pembangunan Usahawan dan Industri Asas Tani Melaka Norhizam Hassan Baktee berkata video yang ditularkan tentang dirinya tidak menjelaskan isu sebenar jalan pintas Kampung Pulau Nibong-Taman Akasia yang ditutup demi keselamatan rakyat.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Pembangunan Usahawan dan Industri Asas Tani Melaka Norhizam Hassan Baktee berkata video yang ditularkan tentang dirinya tidak menjelaskan isu sebenar jalan pintas Kampung Pulau Nibong-Taman Akasia yang ditutup demi keselamatan rakyat.

PUTRAJAYA – Exco Melaka yang rakaman video menunjukkan beliau bertekak dengan sekumpulan penduduk memberi amaran kepada individu yang menyebarkan video itu di media sosial agar berhenti berbuat demikian.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Pembangunan Usahawan dan Industri Asas Tani Melaka, Norhizam Hassan Baktee berkata, jika amaran itu tidak diendahkan, beliau akan menyaman individu terbabit.

“Saya bagi notis 24 jam kepada mereka yang viralkan saya, kalau mereka terus dengan viral saya, tabiat mereka viralkan saya, saya akan saman mereka dalam masa yang terdekat.

“Ini amaran saya kepada mereka kalau tak tahu jangan tuduh,” katanya menerusi video MelakaKini.

Tegasnya, video itu tidak sepatutnya disebarkan dengan memperlihatkan keburukannya tanpa mengetahui situasi sebenar.

Jelasnya, pada masa itu beliau terpaksa meninggikan suara kepada penduduk Kampung Pulau Nibong kerana diprovok.

“Selidik dulu apakah kewajarannya tak akan saya sebagai Exco nak bersifat biadap.

“Saya buat kerja saya berdepan dengan 20 orang yang buat provokasi jadi saya hadaplah. Suara mereka tinggi saya kena tinggikan suara, itu sahaja.

“Saya tidak cakap benda-benda yang kurang ajar, saya tidak maki keluarkan kata-kata macam orang tak sekolah itu sahaja,” katanya lagi.

Semalam video berdurasi dua minit, 26 saat yang tular di laman sosial mengudang kritikan negatif terhadap Norhizam sehingga beliau dilabelkan sebagai ‘YB Kurang Ajar’ oleh netizen.

Norhizam telah menjelaskan semalam bahawa kontroversi itu berlaku ketika beliau hadir ke Taman Akasia pada 8.45 pagi bagi berbincang dan memberi penjelasan kepada penduduk terbabit, namun beliau secara tiba-tiba telah ‘diserang’ sekumpulan individu yang menyoalnya dengan soalan-soalan panas. -MalaysiaGazette

https://youtu.be/cBpLHdN1iPQ