Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang.

PORT DICKSON – Kemenangan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson bukan sahaja penting buat Pakatan Harapan (PH) malah demi masa depan negara.

Veteran DAP itu berkata, kemenangan Anwar itu penting bagi memastikan prinsip Malaysia Baharu benar-benar memberikan kesan kepada kerajaan terutamanya di Dewan Rakyat.

“Sangat penting untuk beliau menang, tetapi dengan majoriti yang besar. Apa yang penting bukan mengenai beliau tetapi tentang masa depan negara.

“Ini penting untuk mencipta Malaysia yang baharu, ia adalah pertembungan antara masa depan dan masa lalu serta untuk mencipta sebuah Malaysia baru,” katanya dalam ucapan Ceramah Mega di bilik gerakan DUN Lukut.

Hadir sama Timbalan Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo.

Kit Siang antara pemimpin Pakatan Harapan yang menyokong penuh keputusan Anwar untuk bertanding di Port Dickson yang merupakan langkah gabungan itu untuk memastikan beliau menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad dan menjadi Perdana Menteri.

Dr Mahathir juga turut berkempen Isnin lalu bagi memberi sokongan padu kepada Anwar bagi memenangi kerusi Port Dickson.

Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan oleh penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, pada 12 September lalu bagi membuka jalan untuk PresidenPKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali ke Dewan Rakyat. -MalaysiaGazette