Khabib Nurmagomedov.

LAS VEGAS – Kejuaraan lightweight dunia UFC kekal milik Khabib Nurmagomedov walaupun dia telah mencetuskan kekecohan selepas pertarungannya Conor McGregor, pada Sabtu lalu.

Perkara ini disahkan Presiden UFC Dana White dalam kenyataan menerusi sebuah video di laman web UFC hari ini.

WashingtonPost melaporkan, White memberitahu, ini kerana jaguh seni bela diri campuran (MMA) Rusia itu tidak akan dilucutkan gelarannya.

Jelas beliau, sebarang tindakan hanya akan diputuskan oleh Suruhanjaya Atletik Nevada (NAC).

“Dia terus kekal kejuaraannya. Dan dia akan digantung (oleh NAC), jadi tempohnya mungkin empat hingga enam bulan,”

“(NAC) telah mengambil semua wang kemenangannya dan  akan menyimpan wang itu. Saya rasa ia tidak sepatutnya berlaku. Kamu tak sepatutnya mengambil semua wang kemenangannya,” katanya.

Kata White, NAC sepatutnya hanya mengambil AS$250,000 sebagai denda.

Namun begitu, dia berpendapat, Khabib tidak sepatutnya melompat ke kawasan penonton dan menyerang kem McGregor.

“Saya fikir ramai yang faham kenapa dia berbuat demikian. Namun dia tidak sepatutnya melakukannya. Dia adalah juara dunia.

“Dia baru sahaja menewaskan Conor di depan seluruh dunia. Bangun, ambil tali pinggang yang dililit di keliling pinggang anda. Anda juara. Mereka yang menjerit kepada anda itu tidak bererti apa-apa,” kata White. – MalaysiaGazette