FLORIDA – Taufan Michael yang dianggap antara yang paling menggerunkan kini sudah mula menghampiri perairan Florida, Amerika Syarikat (AS) dengan kategori ketiga dengan dikuatiri akan membawa kemusnahan teruk sejak sedekad lalu.

Agensi melaporkan, dengan kelajuan 195 kilometer sejam, ia kini dalam perjalanan ke Florida Panhandle, berhampiran dengan Teluk Mexico.

Gabenor Florida, Rick Scott yang sudah mula mengeluarkan amaran darurat di puluhan daerah sejak Ahad lepas sekali lagi memberi amaran kepada saki baki penduduk terutamanya yang berdekatan dengan persisiran pantai agar segera berpindah.

“Masanya sudah tiba untuk kita bersiap sedia. Jangan anggap mudah. Michael mampu membawa maut terutamanya ribut dengan kategori ketiga setakat ini.

Amaran taufan diberi ke seluruh Florida, kawasan rendah di kawasan peranginan berhadapan pandai dan komuniti di timur laut pantai Teluk.

Ramalan cuaca memberi amaran banjir dengan kekuatan ribut dan pasang surut akan meninggikan paras air kepada 2.4 meter hingga 3.6 meter di beberapa kawasan.

Datuk Bandar Tallahassee Andrew Gillum yang juga calon Demokrat untuk pilihan raya gabenor pada 6 November ini pada Ahad lalu berkata, beliau membatalkan acara kempen dan pulang ke Tallahassee bagi menumpukan kepada persediaan menghadapi ketibaan Michael.

Menurut Pusat Taufan Nasional (NHC), taufan itu dijangka tiba tengahari ini waktu tempatan dengan membawa bersama ribut kencang dan hujan lebat.

Mantan ketua NHC, Rick Knabb menggesa penduduk tempatan di kawasan laluan Michael supaya tidak berlengah untuk berpindah demi keselamatan masing-masing. – MalaysiaGazette