Jalan Pulau Nibong ke Taman Akasia di Melaka yang menmbulkan kontroversi.

MELAKA – Penduduk kampung di kawasan Jalan Kampung Pulau Nibong-Taman Akasia yang telah ditutup sebelum ini memohon pihak kerajaan negeri dan wakil rakyat supaya duduk semeja berbincang menyelesaikan isu penutupan tersebut.

Juliah Mohamat, 45, seorang pengusaha bakeri berkata kerajaan negeri dan wakil rakyat terlibat tidak boleh membuat keputusan tanpa melakukan perbincangan dengan semua pihak terutama rakyat yang terkesan akibat penutupan jalan tersebut.

Beliau kesal apabila perbincangan tentang penutupan jalan itu hanya dilakukan sebelah pihak iaitu dengan penduduk di Taman Akasia dan penduduk kampung langsung tidak mengetahui butiran awal tentang perancangan untuk menutup jalan tersebut.

“Wakil rakyat sepatutnya bawa semua pihak duduk semeja berbincang, penduduk kampung nak cakap apa, penduduk taman (Akasia) nak cakap apa, silakan. Kemudian semua maklumat ini buatlah keputusan yang terbaik demi kebaikan semua pihak.

“Kami penduduk kampung tidak mahu cetuskan ketegangan atau apa-apa pergaduhan, kami cuma mahu berbincang supaya masalah ini dapat diselesaikan secara baik. Saya harap semua pihak dapat duduk berbincang dengan kami,” kata bekas pensyarah kolej swasta itu kepada Bernama di sini hari ini.

Isu penutupan Jalan Pulau Nibong-Taman Akasia di Batu Berendam di sini menjadi hangat apabila video Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan dan Industri Asas Tani Melaka Norhizam Hassan Baktee, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Pengkalan Batu, bersikap kasar terhadap penduduk kampung tersebut tular di laman media sosial.

Dalam penjelasan mengenai penutupan jalan itu, Norhizam semalam berkata Jalan Kampung Pulau Nibong-Taman Akasia ditutup demi keselamatan rakyat kerana mendakwa terdapat kes kemalangan dan kecurian berlaku akibat trafik di jalan tersebut.

Juliah, juga salah seorang penduduk kampung yang berdebat dengan Norhizam dalam video yang tular itu, berkata penutupan jalan itu menyukarkan penduduk kampung di kawasan itu dan penduduk di Bukit Beruang dan Ayer Keroh yang menggunakan jalan itu sebagai jalan pintas untuk memudahkan kehidupan seharian mereka.

Beliau memahami masalah yang disuarakan penduduk Taman Akasia, namun tidak bersetuju jalan itu ditutup terus kerana terdapat alternatif lain yang boleh diambil yang menguntungkan semua pihak.

“Jalan itu kalau ada kata kemalangan semua, saya sarankan buatlah bonggol supaya kenderaan yang lalu di kawasan itu dipandu perlahan, juga kalau risau lori besar lalu-lalang membahayakan penduduk pasanglah palang, benarkan hanya kenderaan ringan melalui kawasan itu.

“Ada juga cadangan diberikan untuk kami menggunakan sebuah lagi jalan di kawasan flat di kawasan ini, tetapi jalan itu kecil dan menyebabkan trafik sesak, namun jika pihak terlibat bertindak besarkan jalan untuk penduduk lalu dengan selamat, itu tiada masalah. Tutup jalan terus bukan penyelesaiannya,” katanya.

Seorang suri rumah Rokiah Tompang, 70, yang tinggal di kampung itu sejak awal 80-an berkata tindakan penutupan jalan itu menyukarkan dirinya untuk pergi ke Masjid Pengkalan Batu yang menjadi rutin hariannya setelah tidak lagi bertugas sebagai seorang pekerja pembersihan pejabat.

Beliau berkata jalan Kampung Pulau Nibong-Taman Akasia itu menjadi jalan utama buat warga emas sepertinya untuk pergi ke masjid dan kawasan berhampiran kerana keadaan jalan yang baik serta mempunyai lampu jalan.

“Ada jalan belakang tetapi jalan itu kecil dan jauh, bila malam berbahaya kerana amat gelap. Orang tua seperti makcik ini susah hendak lalu jalan itu. Makcik sedih dengan apa yang jadi kerana ayah makcik dulu susah payah buat sendiri jalan di kawasan ini untuk penduduk.

“Ayah makcik bawa batu-batu menggunakan beca untuk buat jalan supaya penduduk kampung kawasan ini dapat lalu dengan selamat, tetapi sekarang orang kampung susah kerana masalah jalan ini,” katanya.

Adik beliau Asiah Tompang, 65, berkata majoriti penduduk di kawasan kampung itu merupakan ibu tunggal dan sepatutnya kerajaan negeri serta wakil rakyat memainkan peranan membantu memudahkan kehidupan seharian mereka.

“Jalan ini kami guna setiap hari, sepatutnya semua pihak kena prihatin membantu. Kami di sini bukan orang senang, nak naik mahkamah saman menyaman ini bukan ada wang. Jadi tolonglah kami di sini,” katanya.

Beliau turut kesal isu berkenaan didakwa mainan politik pihak tertentu dan menegaskan isu tersebut bukan isu politik, sebaliknya isu rakyat menghadapi masalah yang memerlukan pertolongan kerajaan negeri dan wakil rakyat terlibat.

— BERNAMA

Saya tak nak cakap dengan orang tak sekolah, tegas ADUN Pengkalan Batu

https://www.youtube.com/watch?v=cBpLHdN1iPQ