Noor Rashid Ibrahim
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim bergambar kenangan bersama anggota pada sidang media selepas menghadiri Forum Perdana 'Undang-undang Pencegahan (Keselamatan dan Hak Asasi) di Maktab Polis Diraja Malaysia Cheras, Selangor. foto IQBAL BASRI, 10 OKTOBER 2018

KUALA LUMPUR – Pegawai dan anggota polis perlu menyematkan di dalam diri masing-masing, nilai-nilai murni untuk dijadikan legasi kepada generasi pasukan itu pada masa akan datang.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Noor Rashid Ibrahim berkata, perkara itu perlu bagi menjadikan warga polis agar sentiasa dihormati dan disanjungi masyarakat.

“Ke mana sahaja saya pergi, saya akan berpesan kepada mereka (anggota polis) agar mereka menerapkan nilai-nilai murni ini. Saya menekankan perkara itu.

“Yang penting bagi kita pasukan PDRM yang kita nak serahkan kepada mereka yang akan mengambil alih.

“Kita nak beri mereka legasi yang baik dan kita buat sebaik mungkin,” katanya pada sidang media selepas menutup Forum Perdana Undang-Undang Pencegahan Keselamatan Negara dan Hak Asasi, di Maktab Polis Kuala Lumpur di sini hari ini.

Noor Rashid berkata, pesanan terhadap nilai-nilai murni itu turut beliau tekankan kepada pengarah-pengarah di setiap jabatan.

Katanya, tiada kompromi dalam meletakkan nilai-nilai tersebut sebagai jati diri kerana jika ia tidak dijadikan amalan apa yang diharap tidak akan menjadi kenyataan. – MalaysiaGazette