Mantan Timbalan Naib Canselor Universiti Malaya (UM), Datuk Dr. Firdaus Abdullah bercakap pada forum yang bertajuk
Mantan Timbalan Naib Canselor Universiti Malaya (UM), Datuk Dr. Firdaus Abdullah bercakap pada forum yang bertajuk "Merombak Revolusi Mental Melayu-Bumiputera : Antara Etos dan Pathos" sempena Siri Wacana Cendekiawan anjuran Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) UKM di Bangunan Canselori, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 10 OKTOBER 2018

KUALA LUMPUR – Kerajaan, sejak di bawah tiga perdana menteri dari tahun 1980-an sehingga kini masih gagal menyelesaikan masalah revolusi mental orang Melayu, kata mantan Timbalan Naib Canselor Universiti Malaya, Datuk Dr Firdaus Abdullah.

Katanya, dari zaman Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tahun 1981 sehingga era Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Tun Razak (2018) serta kembali semula kepada Dr Mahathir hari ini, belum ada penyelesaian dilakukan.

Menurut beliau, ketiga-tiga mereka ketika menjawat jawatan perdana menteri hanya lebih banyak bercakap, tetapi terlalu sedikit berusaha ke arah merubah revolusi mental orang Melayu.

“Saya pernah bercakap dengan Tun Mahathir pada kursus Biro Tatanegara di Negeri Sembilan puluhan tahun dulu. Saya tanya beliau secara berterus terang, kenapa dia mengaku gagal mengubah mental orang Melayu selama 22 tahun menjadi Perdana Menteri.

“Kemudian saya tanya lagi, sekiranya Tun diberi kesempatan sekali lagi menjadi Perdana Menteri, adakah beliau mempunyai perancangan untuk berbuat demikian?

“Sebenarnya, saya sendiri pun tidak sangka Tun menjadi Perdana Menteri kali kedua selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Mei lalu,” katanya pada Siri Wacana Cendekiawan ATMA: Merombak Revolusi Mental Melayu-Bumiputera: Antara Etos dan Pathos di Bangunan Canselori, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini, hari ini.

Tiga lagi ahli panel ialah Presiden Majlis Tindakan Wakaf Antarabangsa, Datuk Dr Mohd Ghazali Md Nor; mantan Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia, Datuk Seri Dr Ir Zaini Ujang; dan Pengerusi Yayasan Mahkota, Tan Sri Dr Kamal Salih.

Menurut Dr Firdaus, untuk mengubah minda orang Melayu kerajaan perlukan perancangan, strategik, program dan pemantauan kejayaan atau kegagalan.

Bagaimanapun, katanya, tiga Perdana Menteri, termasuk Tun Mahathir yang menjawat jawatan Perdana Menteri kali kedua tidak melakukannya dan ini yang mengecewakan beliau serta ahli cendekiawan.

Katanya, beliau sedar ada pemimpin memberi jawapan kerajaan tidak gagal dalam mengubah revolusi mental orang Melayu, tetapi kenapa ia tidak berjaya sebagaimana yang diharapkan.

“Kita (pemimpin) terlalu banyak bercakap dan terlalu sedikit berusaha,” katanya yang turut menjelaskan Tun Mahathir memberi jawapan mengecewakan beliau.

Katanya, semua perdana menteri setakat ini tidak serius dalam mengubah sikap bangsa Melayu.

“Saya masih ingat suatu ketika dahulu Utusan Malaysia Publication (UMP) diberi notis tujuh hari untuk mencetak buku Revolusi Mental untuk diedarkan kepada perwakilan UMNO. Pekerja UMP bertungkus lumus bekerja dengan harapan buku itu dibaca.

“Tetapi saya tidak tahu seramai mana perwakilan UMNO membaca buku yang mengandungi pandangan beberapa tokoh Melayu terdahulu seperti Pendita Zaaba dan Abdullah Munsyi yang menitikberatkan kesedaran orang Melayu berubah sikap,” katanya. – MalaysiaGazette