Calon Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) bergambar bersama persatuan Reformis 98 pada Pertemuan Khas Bersama Reformis 98 Negeri Sembilan sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) P.132 Port Dickson di Padang Petanque, Port Dickson, Negeri Sembilan. foto SYAFIQ AMBAK, 11 OKTOBER 2018.
Calon Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) bergambar bersama persatuan Reformis 98 pada Pertemuan Khas Bersama Reformis 98 Negeri Sembilan sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) P.132 Port Dickson di Padang Petanque, Port Dickson, Negeri Sembilan. foto SYAFIQ AMBAK, 11 OKTOBER 2018.

PORT DICKSON – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK), Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan kesediaannya untuk memberikan khidmat perundingan kepada mana-mana bekas pemimpin dan pasangannya tentang bagaimana menjalani kehidupan dalam penjara.

Dalam nada berseloroh, Anwar berkata terdapat beberapa fasa kehidupan di dalam penjara dan seseorang itu perlu cekap menjalaninya.

“Kalau mahkamah putuskan Datuk Seri Najib dan Datin Seri Rosmah (didapati bersalah), saya boleh beri konsultasi tentang bagaimana menjalani kehidupan yang cekal di penjara.

“Anda boleh penjara orang tapi anda tidak boleh tukar hati orang.

“Saya tidak salahkan mereka (mahkamah), itu tugas mereka. Masa itu saya yang kena, sekarang masa siapa, nasiblah,” katanya dalam pertemuan khas dengan Reformis 98 Negeri Sembilan sebentar tadi.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kini berdepan dengan 21 pertuduhan membabitkan wang sebanyak RM2.8 bilion selain empat lagi pertuduhan mengikut Seksyen 23 (1) dan 24 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Manalah isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor pula berdepan 17 pertuduhan jenayah pengubahan wang haram melibatkan duit berjumlah RM7 juta.

Dalam pada itu, Anwar berkata beliau sudah melupakan semua tragedi hitam yang berlaku terhadapnya.

Namun, beliau berkata tindakan bekas pemimpin yang mencuri duit rakyat tidak akan dimaafkan.

“Hebat rejim dahulu, yang ditangkap adalah kereta dan menteri lepas.

“Dalam kes saya, yang sudah itu sudah kerana kita mesti mudah memaafkan melainkan kalau dia rompak harta rakyat, itu mesti dipulangkan. Mahkamah mesti dengan cara adil,” katanya lagi.

Anwar pernah dipenjarakan dua kali iaitu pada 1999, beliau telah dijatuhi hukuman penjara selama enam tahun kerana didapati bersalah atas kesalahan penyalahgunaan kuasa.

Dan pada 2008, Anwar berhadapan hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Persekutuan selepas didapati bersalah meliwat bekas pembantunya Mohd. Saiful Bukhari Azlan. -MalaysiaGazette