Yazid
Ahmad Yazid Othman

KUALA LUMPUR- Cadangan supaya kerajaan memperkenalkan cukai kepada orang kaya bukan sahaja mampu menambah perolehan negara malah turut membantu merangsang ekonomi secara domestik.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Malaysia, Ahmad Yazid Othman berkata, apabila cukai baharu itu diperkenalkan, ia akan mendorong lebih banyak syarikat dan golongan kaya untuk mencairkan aset masing-masing dengan melabur atau berbelanja di dalam negara.

“Golongan kaya pastinya tidak mahu lagi menyimpan terlalu banyak aset untuk diwarisi keturunan kerana harta-harta tersebut akan dikenakan cukai oleh kerajaan.

“Jadi mereka akan menggunakan harta-harta tersebut untuk dilaburkan atau dibelanjakan dan aktiviti ini akan merangsang ekonomi dari dalam negara.

“Begitu juga apabila kerajaan memperkenalkan cukai karbon yang secara tidak langsung mendorong syarikat-syarikat untuk melabur dalam teknologi hijau bagi mengelakkan mereka dikenakan cukai karbon,” katanya semasa taklimat media di sini hari ini.

Tambah beliau, Cukai Keuntungan Modal (Capital Gain Tax) pula memang sepatutnya dikenakan sejak dahulu lagi kerana setiap individu yang mempunyai pendapatan dikenakan cukai tetapi pelabur yang mendapat keuntungan besar daripada pasaran modal tidak perlu membayar apa-apa.

Kelmarin, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengumumkan satu cukai baharu akan diperkenalkan bagi menambah perolehan negara.

Bagaimanapun, butiran lanjut mengenai cukai tersebut masih belum didedahkan kerajaan.-MalaysiaGazette