Kementerian Pengangkutan sedang mengkaji permintaan syarikat penyedia perkhidmatan feri yang memohon agar tambang feri ke Langkawi dinaikkan bagi memastikan perkhidmatan lebih baik dapat diberikan kepada penumpang pada masa akan datang. 
Kementerian Pengangkutan sedang mengkaji permintaan syarikat penyedia perkhidmatan feri yang memohon agar tambang feri ke Langkawi dinaikkan bagi memastikan perkhidmatan lebih baik dapat diberikan kepada penumpang pada masa akan datang. 

ALOR SETAR – Kementerian Pengangkutan sedang mengkaji permintaan syarikat penyedia perkhidmatan feri yang memohon agar tambang feri ke Langkawi dinaikkan bagi memastikan perkhidmatan lebih baik dapat diberikan kepada penumpang pada masa akan datang.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata ini berikutan maklum balas operator feri bahawa mereka terpaksa berhadapan dengan cabaran dari segi kos operasi susulan harga bahan api yang agak tinggi pada masa ini.

“Dari segi kadar tambang feri memang operator tidak boleh sesuka hati naikkan kadar tambang, mesti dapat kelulusan kerajaan…tapi kerajaan buat masa ini belum membuat apa-apa keputusan berkenaan isu ini,” katanya kepada pemberita selepas melawat Terminal Feri Penumpang di Kuala Kedah hari ini.

Beliau berkata kerajaan perlu mengimbangi kepentingan untuk penumpang dan pada masa sama berusaha memastikan agar operator feri dapat meneruskan perkhidmatan kerana ia merupakan salah satu medium pengangkutan penting untuk pelancong berkunjung ke pulau pelancongan terkenal di dunia itu.

“Sebab itu kita akan lihat dengan teliti perkara ini sebelum sebarang keputusan dibuat,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata kerajaan akan meneruskan projek menaik taraf terminal feri penumpang Kuala Kedah di sini dengan mengintegrasikan terminal penumpang, kargo dan kargo kenderaan beroda di atas tanah seluas 4.3 hektar.

Katanya proses pelawaan tender terbuka akan bermula pada 18 Oktober hingga 14 November bagi pemilihan perunding sebelum pembinaan dijangka bermula pertengahan kedua tahun hadapan dengan anggaran tempoh pembinaan selama dua tahun.

Berkonsepkan bangunan bertingkat, beliau berkata panjang pelabuhan di jeti itu kelak akan ditingkatkan dari 80 meter sekarang yang hanya boleh menampung tiga feri berlabuh pada satu-satu masa, kepada 180 meter dengan kapasiti enam feri termasuk feri penumpang, kargo dan kargo kenderaan beroda.

Beliau berkata pihaknya turut menetapkan syarat bahawa kontraktor yang akan dilantik nanti mesti menyediakan kemudahan seperti ruang pelepasan dan ketibaan yang selesa, surau, tandas, auto-gate, kaunter tiket, ruang perniagaan dan pejabat kerajaan.

“Buat masa ini dewan ruang menunggu hanya dapat menampung kira-kira 800 orang dan setelah dinaiktaraf kelak ia akan menampung kira-kira 3,000 penumpang…selain itu kita juga akan pastikan tidak kurang 500 tempat letak kereta disediakan bagi kemudahan penumpang.

“Kita nak konsep pembangunan terminal mesti dintegrasikan dengan pengangkutan awam..untuk terminal feri ini kita nak ada kemudahaan menurunkan penumpang untuk bas persiaran, ini semua akan memudahkan pelancong luar dan sekaligus dapat menggalakkan kedatangan pelancong ke Pulau Langkawi,” katanya.

Purata kira-kira 120,000 penumpang direkod menggunakan terminal feri Kuala Kedah untuk ke Langkawi setiap bulan.

— BERNAMA