Isa Samad
Mohd Isa Samad

PORT DICKSON – Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan menyangkal dakwaan Tan Sri Rais Yatim bahawa tiba masanya untuk beliau ‘bersara’ dari politik.

Calon bebas Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, Tan Sri Isa Samad berkata, kenyataan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu sebagai tidak masuk akal.

“Saya pelik dia kata dah sampai masa untuk saya sebagai ahli politik..dia pun jadi pengerusi Bersatu itu juga politik.

“Pandangan itu tak munasabah suruh saya berhenti jadi ahli politik. Nak katakan saya dah tua sangat apabila masuk bertanding PRK ini tidak masuk akal langsung,” katanya ketika di temui di Bandar Baharu Sunggala, Teluk Kemang semasa berkempen.

Tambahnya Rais juga seorang pemimpin lebih tua dan veteran daripadanya dan tidak wajar mengarahkannya besara dari politik.

“Pandangan itu tak munasabah suruh saya berhenti jadi ahli politk. Rais lagi tua daripada saya, dia sendiri tak bersara suruh saya bersara pula,” katanya.

Kenyataan bekas pemimpin UMNo itu hadir selepas diminta mengulas mengenai dakwaan Rais Yatim semalam.

Rais turut menyelar Isa sebagai veteran harus berundur memberi laluan kepada orang muda untuk berkhidmat dan agak terlambat untuk membawa pembaharuan sedangkan sepanjang pengalaman sebagai Menteri Besar selama 22 tahun gagal membawa perubahan. – MalaysiaGazette