Hazard bercakap pada sidang media sebelum perlawanan Belgium menentang Swizerland.

LONDON – Eden Hazard berkata beliau tidak akan berpindah ke Real Madrid pada Januari, namun mungkin meninggalkan Chelsea untuk membolehkannya memenangi anugerah Ballon d’Or.

Pada awal bulan ini, penyerang berusia 27 tahun itu berkata dia akan menyertai Real yang merupakan ‘impiannya sejak kecil lagi.

Ditanya mengapa dia perlu bermain di Sepanyol untuk memenangi anugerah berprestij itu, Hazard berkata: “Sebab itu saya mahu pergi, mungkin,”.

Bagaimanapun, pemain warga Belgium itu menafikan beliau akan berpindah apabila jendela permindahan dibuka pada Januari ini, lapor BBC.

Kontrak Hazard di Stamford Bridge tamat pada Jun 2020 dan laporan di Sepanyol mendakwa Real Madrid berharap Chelsea akan menjual pemain itu pada harga £70juta akhir musim ini daripada mengambil risiko kehilangan pemain itu setahun kemudian.

Pada Ogos lalu, Thibaut Courtois menyertai Chelsea pada harga £35juta ketika kontrak penjaga gol itu memasuki tahun terakhir.

Hazard adalah penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris dengan tujuh gol setakat ini.

Jumlah itu sama dengan jaringan Real sebagai sebuah pasukan pada saingan La Liga pada musim ini dengan juara Liga Juara-Juara itu dilihat bergelut untuk menyesuaikan diri di bawah kendalian pengurus baharu, Julen Lopetegui selain kehilangan Cristiano Ronaldo yang berpindah ke Juventus pada Julai lalu.

Hazard yang menyertai Chelsea dari Lille pada 2012 telah menjaringkan 76 gol dalam 216 pertandingan liga. – Agensi