Husam
Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Husam Musa berucap pada Ceramah Penutup Tirai Kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) P.132 Port Dickson di PD Waterfront, Port Dickson, Negeri Sembilan. foto HAZROL ZAINAL, 12 OKTOBER 2018.

PORT DICKSON – Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Husam Musa membidas Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung tindakan parti itu mempersoalkan Pengampunan Diraja yang dikurniakan ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut beliau, Abdul Hadi tidak mempunyai kredibiliti selaku Presiden Pas kerana dilihat tidak menghormati kurniaan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhamad V.

“Datuk Seri Anwar tidak minta Pengampunan Diraja, tapi perkara itu dicadangkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Yang cadang adalah Perdana Menteri, bukan Anwar yang tulis surat kepada Yang di-Pertuan Agung untuk mohon pengampunan.

“Yang di-Pertuan Agong beri perkenan kepada cadangan PM,” katanya dalam Ceramah Penutup Tirai Kempen PRK Port Dickson di bilik gerakan utama Pakatan Harapan (PH).

Pengampunan Diraja terhadap Anwar, katanya, telah dimuktamadkan dalam perbentukan Pakatan Harapan (PH) yang mengangkat Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri ketujuh.

“Sebelum PRU14, kami jumpa dengan Tun Dr Mahathir kami bawa hasrat dan usahakan pembebasan Anwar Ibrahim. Tapi ada yang ragu-ragu dengan Tun Dr Mahathir.

“Tun Mahathir kata saya akan letak Anwar di tempat yang sesuai untuk dia dan tidak ada masalah untuk mohon pengampunan kepada Anwar,” katanya.

Pas pada 3 Oktober lalu menerusi Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan mendakwa, Anwar yang juga Presiden PKR tidak diberikan pengampunan bebas di bawah Perkara 48 (1) (e) Perlembagaan Persekutuan yang melayakkan beliau bertanding dalam mana-mana pilihan raya. -MalaysiaGazette