Dr Mohd Zuhdi Marzuki

PORT DICKSON – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK), Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal berdepan cabaran untuk mendapatkan undi daripada pengundi luar terutamanya kaum Cina.

Pengarah Pusat Penyelidikan Pas, Dr Mohd Zuhdi Marzuki berkata, pengundi Cina yang merangkumi 33 peratus daripada undi keseluruhan dan pengundi luar pula berbelah-bahagi sama ada mahu pulang mengundi Anwar atau tidak.

Selain itu, tempoh Pilihan Raya Umum Ke-14 yang baru sahaja selesai lima bulan lalu turut mempengaruhi PRK di Parlimen tersebut.

“Masalah utama yang saya dapat kesan pada PKR ini adalah  pengundi Cina luar kawasan. Ini cabaran kepada Anwar.

“Ramai pengundi Cina tidak keluar mengundi dalam PRK lepas seperti Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong. Malah peratusan jumlah kerusi yang rendah terutama di kawasan Cina.

“Saya rasa itu cabaran Anwar untuk tarik pengundi Cina dan ia bukan jalan yang mudah sebagaimana PRU14 lalu,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Katanya dua kawasan milik UMNO iaitu Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi dan Bagan Pinang juga akan menyukarkan peluang untuk Anwar menang.

Ini kerana kedua-dua kawasan itu adalah kerusi tradisi UMNO yang sukar dipecahkan oleh Pakatan Harapan (PH).

Pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) lalu, DUN Linggi dimenangi Datuk Abdul Rahman Mohd. Redza daripada UMNO dengan majoriti 623, sementara Datuk Tun Hairudin Abu Bakar juga daripada UMNO memenangi DUN Bagan Pinang dengan majoriti 1,935.

“Dari segi pengundi Melayu sebanyak 43 peratus, mereka merupakan penentu kepada kemenangan beliau.

“Kawasan yang ramai pengundi Melayu adalah di DUN Linggi dan Bagan Pinang. Kedua-dua kawasan ini dikuasai oleh UMNO,” katanya.

Ditanya strategi Pas yang meletakkan calon bekas tentera di PRK Port Dickson kali ini, jelasnya, parti itu yakin pengundi khususnya bekas tentera dan yang masih berkhidmat akan menyokong individu yang datang dalam kalangan mereka sendiri.

Katanya, Leftenan Kolonel (B) Mohd Nazari Mokhtar dijangka dapat menarik undi golongan itu mahupun ahli UMNO.

“Kita letakkan calon bekas tentera supaya dia mampu menarik bukan hanya veteran tapi bahkan juga pengundi tentera. Kalau berdasarkan kepada PRK di Seri Setia, Pas menang di kerusi kem TUDM Subang.

“Jadi peluang untuk kita mendapat sokongan undi tentera ini besar. Sokongan itu kalau diulangi di Port Dickson boleh beri keselesaan walaupun memang sukar untuk Pas menang namun boleh beri keselesaan untuk mencabar Anwar Ibrahim.

Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan oleh penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, pada 12 September lalu bagi membuka jalan untuk Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali ke Dewan Rakyat. -MalaysiaGazette