Zahida Zarik Khan
Zahida Zarik Khan

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) tidak akan menang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu jika parti itu jujur kepada rakyat.

Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Zahida Zarik Khan berkata, pengakuan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa kerajaan itu gagal menunaikan janji yang ditabur adalah bukti kemenangan mereka kerana menabur janji palsu.

“Terima kasih kepada Tun Mahathir yang akui PH gagal menunaikan janji yang ditaburnya sepanjang berkempen pada PRU14 yang lalu.

“Setiap janji yang terkandung dalam manifesto PH hanya harapan palsu yang berjaya mempengerahui rakyat sehingga mereka memilih kerajaan baharu untuk mentadbir negara,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Ketika berucap di New York baru-baru ini, Tun Dr Mahathir mengakui beliau sendiri tidak yakin PH boleh menang PRU itu dan manifesto hanya untuk memalukan Barisan Nasional (BN).

Kata Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu, apabila PH menguasai Putrajaya, janji dalam manifesto itu menyebabkan kerajaannya menerima malu.

Jelas Zahida, kenyataan itu jelas mengakui PH memang berniat untuk perdaya dan menipu pengundi terutama janjinya hendak menghapuskan tol.

“Ramai mengeluh, ramai menyesal apabila ‘tersalah’ pilih dan bagi kemenangan kepada PH yang hanya memberi harapan palsu,” katanya mengakhiri kenyataan dengan pantun, siakap senohong, gelama ikan duri, bercakap bohong, lama-lama mencuri. – MalaysiaGazette