Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR –  Bursa Malaysia mengakhiri penyusutan selama tujuh hari berturut-turut apabila kembali ditutup tinggi berikutan peningkatan semula aktiviti belian saham berharga rendah di pasaran.

Indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 22.25 mata atau 1.30 peratus untuk ditutup kepada 1,730.74 berbanding 1,708.49 pada Khamis.

Penanda aras itu bergerak dalam jajaran antara 1,703.92 dan 1,732.16 selepas dibuka susut 4.57 mata kepada 1,703.92.

Di papan skor, sentimen pasaran adalah positif dengan kaunter untung mengatasi rugi iaitu 578 berbanding 334 manakala 351 kaunter lain tidak berubah, 609 tidak didagangkan dan 17 lain digantung.

Jumlah dagangan bagaimanapun berkurangan kepada 2.22 bilion unit bernilai RM2.49 bilion berbanding 3.10 bilion unit bernilai RM3.70 bilion.

Di peringkat serantau, pasaran Nikkei 225 Jepun meningkat 0.46 peratus kepada 22,694.66, Indeks Straits Times Singapura bertambah 0.93 peratus kepada 3,075.47 manakala Indeks Hang Seng Hong Kong naik 2.12 peratus kepada 25,801.49.

Sementara itu, Ketua Penyelidikan Inter-Pacific Securities, Pong Teng Siew berkata peningkatan sentimen pasaran itu adalah seiring dengan pengukuhan niaga hadapan Dow Jones Industrial Average yang melebihi 200 mata yang mengundang pelabur kembali ke pasaran untuk mencari saham berharga murah.

“Sama ada ini dapat dipertahankan, masih lagi menjadi persoalan. Bagi saya, kita mungkin perlu menunggu berita mengenai prestasi (indeks) Dow Jones Industrial Average seterusnya pada Isnin yang dapat menjadi pengukur sebenar. Namun, saya pasti Dow Jones akan meningkat semula malam ini berikutan aktiviti mencari saham berharga rendah,” katanya kepada Bernama.

Bagi pasaran minyak, niaga hadapan minyak mentah Brent meningkat 0.93 peratus kepada US$81.01 setong manakala ringgit berada di paras 4.1530/1560 berbanding dalam dolar AS daripada 4.1580/1600 pada Khamis.

Di Bursa Malaysia, saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank untung 30 sen kepada RM9.58, Public Bank naik lapan sen kepada RM24.98, TNB menokok 32 sen kepada RM14.60, Petronas Chemicals bertambah enam sen kepada RM9.28, CIMB meraih 29 sen kepada RM5.95 manakala Hong Leong Bank meningkat 20 sen kepada RM20.50.

Bagaimanapun Axiata rugi 10 sen kepada RM3.91 dan Sime Darby Plantation berkurangan tiga sen kepada RM5.21.

Bagi saham aktif, MYEG naik sembilan sen kepada RM1.56, Vortex Consolidated menambah satu sen kepada sembilan sen, Hibiscus Petroleum untung satu sen kepada RM1.18 manakala Sapura Energy dan Borneo Oil turun setengah sen masing-masing kepada 36 sen dan 5.5 sen.

Gamuda naik lima sen kepada RM2.35 manakala MMC Corp untung dua sen kepada RM1.15 selepas Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengesahkan keputusan Kabinet untuk menubuhkan satu jawatankuasa bagi meneliti kontrak stesen bawah tanah yang diberi kepada MMC-Gamuda bagi projek Transit Aliran Massa 2.

Indeks FBM Emas melonjak 123.28 mata kepada 11,981.86, Indeks FBM Emas Shariah naik 96.41 mata kepada 11,988.96 manakala Indeks FBMT 100 turut melonjak 123.92 mata kepada 11,809.62.

Selain itu, Indeks FBM Ace meningkat 103.67 mata kepada 5,008.02 manakala FBM 70 menokok 36.88 mata kepada 13,860.09.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan naik 19.26 mata kepada 7,411.80, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 309.32 mata kepada 17,528.62 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri menambah 0.72 mata kepada 171.60.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama berkurangan kepada 1.45 bilion saham bernilai RM2.34 bilion berbanding 2.08 bilion saham bernilai RM3.52 bilion yang didagangkan pada Khamis.

Waran susut kepada 452.14 juta unit bernilai RM91.12 juta berbanding 566.80 juta unit bernilai RM105.21 juta yang dicatatkan semalam.

Di Pasaran ACE, jumlah dagangan merosot kepada 315.58 juta unit bernilai RM58.90 juta berbanding 455.56 juta unit bernilai RM82.14 juta pada Khamis.

Barangan dan perkhidmatan pengguna menyumbang 228.85 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, barangan dan perkhidmatan industri (260.25 juta), pembinaan (155.48 juta), teknologi (159.06 juta), SPAC (289,000), perkhidmatan kewangan (60.38 juta), hartanah (100.02 juta), perladangan (20.80 juta), REIT (7.36 juta), dana tertutup (49,000), tenaga (333.31 juta), penjagaan kesihatan (42.32 juta), telekomunikasi dan media (35.67 juta), pengangkutan dan logistik (14.59 juta) serta utiliti (30.02 juta). – MalaysiaGazette