ringgitHarga saham di Bursa Malaysia tinggi semasa dibuka hari ini, didorong beberapa sokongan belian dalam saham wajaran tinggi terpilih walaupun pasaran saham Asia mencatatkan prestasi bercampur-campur.
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dijangka didagangkan dalam kedudukan defensif minggu depan dengan faktor domestik dan luaran terus mempengaruh pasaran, kata penganalisis.

Ketua Penyelidikan Inter-Pacific Securities Sdn Bhd, Pong Teng Siew berkata, pasaran tempatan akan bergantung kepada kedudukan penutupan pasaran US pada Jumaat.

“Jika Dow Jones Industrial Average terus mengekalkan pemulihannya malam ini (Jumaat), dan jika peningkatan itu cukup tinggi, berkemungkinan ini dapat menarik minat yang mencukupi untuk pelabur mengambil risiko.

“Namun jika pemulihan malam ini tidak begitu menyakinkan, ini sudah pasti menyaksikan lebih banyak jualan pada Isnin. Saya jangkakan para pelabur akan mengambl pendirian tunggu dan lihat apa yang berlaku dalam pasaran US (pada penutupnya Jumaat),” katanya kepada Bernama.

Pong berkata pasaran kini menunggu pembentangan Belanjawan 2019.

“Ada perbincangan mengenai cadangan memperkenal pelbagai cukai baharu bagi membersihkan hutang kerajaan. Ini mewujudkan ketidaktentuan dalam pasaran, sama ada pasaran melihatnya sebagai langkah yang menyukarkan atau mungkin hanya peningkatan yang kecil.

“Namun kebanyakan pelabur menunggu untuk melihat berapa banyak kenaikan hasil yang mahu dikumpul oleh kerajaan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Perdagangan OANDA bagi Asia-Pasifik Stephen Innes berkata Jabatan Perbendaharaan US akan menyiarkan laporan mata wangnya pada hari Isnin, yang disebut-sebut bahawa mereka tidak akan mengklasifikasikan China sebagai manipulator mata wang.

“Ini boleh mengelakkan krisis mata wang Asia, dan akan mengurangkan tahap perang perdagangan US-China. Kita akan peroleh sentimen yang lebih positif dengan syarat Presiden Trump tidak memainkan isu manipulasi mata wang,” katanya.

Innes berkata berita mengenai Belanjawan 2019 akan terus meningkat menjelang pembentangannya pada 2 Nov, dan ini boleh mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pelabur.

Pada minggu yang baru berakhir, Bursa Malaysia mengalami kedudukan yang tidak menentu, bermula dengan catatan lemah pada Isnin ekoran pulangan hasil bon kerajaan US yang tinggi serta pasaran China yang lemah selepas ‘Golden ‘Week’.

Kemerosotan terus membelenggu pasaran pada Rabu seiring kejatuhan di Wall Street susulan kebimbangan mengenai kenaikan kadar faedah, namun pasaran tempatan pulih pada Jumaat selepas aktiviti belian semasa harga rendah.

Pada asas Jumaat ke Jumaat, penanda aras FBM KLCI ditutup 46.41 mata lebih rendah kepada 1,730.74.

Indeks FBM Emas susut 425.77 mata kepada 11,981.86, Indeks FBMT100 turun 405.01 mata kepada 11,809.62 manakala Indeks FBM Emas Shariah merosot 522.86 mata kepada 11,988.96.

FBM 70 merosot 819.03 mata kepada 13,860.09, manakala FBM Ace turun 222.04 mata kepada 5,008.02.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan turun 183.5 mata kepada 17,528.62, Indeks Perladangan susut 70.63 mata kepada 7,411.80, dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 5.40 mata kepada 171.60.

Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 10.15 bilion unit bernilai RM10.68 bilion berbanding 9.2 bilion unit bernilai RM9.18 bilion sebelumnya.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 6.71 bilion saham bernilai RM10.03 bilion berbanding 6.33 bilion saham bernilai RM8.49 bilion pada Jumaat lepas.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 1.90 bilion unit bernilai RM357.70 juta berbanding 1.64 bilion unit bernilai RM392.29 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 1.57 bilion saham bernilai RM289.37 juta berbanding 1.54 bilion saham bernilai RM297.83 juta. – MalaysiaGazette