Melania Trump ketika wawancara bersama pengacara ABC News, Tom Llamas. foto ABC News

WASHINGTON – Wanita Pertama Amerika Syarikat, Melania Trump menolak spekulasi tentang perkahwinannya yang didakwa mengalami masalah.

Menurutnya, dakwaan tentang hubungan ‘tambahan’ Presiden Donald Trump bukan menjadi fokusnya kerana beliau mempunyai banyak perkara lain yang perlu dilakukan.

Melania yang ditanya ABC News sama ada beliau mencintai Trump, wanita itu berkata: “Ya, hubungan kami baik”.

Trump sebelum ini menafikan beliau mempunyai hubungan dengan wanita lain.

Pelakon lucah, Stormy Daniels dan bekas model Playboy, Karen McDougla mendakwa mereka pernah tidur bersama Trump sebelum ini.

Melania berkata, beliau mencintai suaminya dan liputan media mengenai mereka tidak betul.

“Ia bukan menjadi kebimbangan dan fokus saya. Saya seorang ibu dan wanita pertama dan saya mempunyai banyak perkara penting yang perlu difikir dan melakukannya.

“Saya tahu apa yang betul dan apa yang benar dan tidak betul,” ujar beliau. – MalaysiaGazette