KUALA LUMPUR – Kadar jangka pendek dijangka terus stabil pada minggu hadapan berikutan operasi Bank Negara Malaysia (BNM) di dalam pasaran wang bagi menyerap lebihan dana.

Bagi minggu yang baru berakhir, kadar rujukan Islam semalaman tidak berubah pada 3.19 peratus yang direkodkan pada minggu sebelum ini, manakala kadar satu, dua dan tiga minggu kekal, masing-masing pada 3.26, 3.30 dan 3.35 peratus.

Sementara itu, asas tiga bulan KLIBOR kekal pada 3.69 peratus.

Sepanjang minggu ini, bank pusat berkenaan menjalankan operasi pada setiap hari untuk menyerap lebihan kecairan daripada sistem kewangan dengan menjalankan tender seperti pasaran wang konvensional, tender Qard lelongan matang pelbagai Islam, tender pasaran wang lelongan matang pelbagai, program komoditi murabahah dan Qard.

Ia juga mengeluarkan Bil Antara Bank BNM dan Bil Islam Antara Bank BNM.

Pada asas Jumaat ke Jumaat, jumlah lebihan kecairan dalam sistem konvensional untuk minggu ini meningkat kepada RM27.31 bilion daripada RM25.89 bilion, manakala dalam sistem Islam, ia naik kepada RM11.81 bilion berbanding RM10.13 bilion sebelumnya. -MalaysiaGazette