Mohamaddin Ketapi
PUTRAJAYA – Kerajaan tidak bercadang untuk memansuhkan Cukai Pelancongan yang dikenakan ke atas setiap pelancong asing yang melawat Malaysia, kata Menteri Pelancongan, Seni Dan Budaya (Motac) Datuk Mohamaddin Ketapi.

Beliau berkata, kementerian mengambil maklum rungutan yang disuarakan pelancong berkenaan cukai itu terutamanya dalam kalangan ‘backpackers’, namun cukai tersebut tetap dikekalkan pelaksanaannya demi kebaikan negara.

“Tetapi jika dilihat pada nilai cukai RM10, dan dibandingkan dengan nilai matawang mereka, ia hanya jumlah kecil untuk dibayar ketika melancong ke negara ini,” katanya ketika kepada pemberita selepas sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Motac, di sini hari ini.

Malaysia mula melaksanakan Cukai Pelancongan tersebut selepas Parlimen meluluskan pelaksanaannya bermula 1 Sept 2017.

Mengulas lanjut, Mohamaddin berkata, kerajaan juga tidak bercadang untuk menaikkan kadar cukai terbabit buat masa ini kerana ia dilihat masih berpatutan.

Sambutan Hari Sukan Negara peringkat kementerian itu yang bermula seawal 6 pagi disertai 500 kakitangan Motac. – MalaysiaGazette