Lim Guan Eng
Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Menteri Kewangan mendakwa bukan semua wang yang berada dalam Akaun Tunai boleh digunakan untuk perbelanjaan kerajaan.

Ini kerana, Akaun Tunai dan Akaun Pelaburan membentuk satu gabungan wang tunai (common pool of cash) yang dikutip, disimpan dan dilabur untuk tiga akaun yang berasingan iaitu Akaun Hasil Disatukan, Akaun Akaun Pinjaman Disatukan dan Akaun Amanah Disatukan.

Oleh itu, Lim Guan Eng berkata, bukan semua Akaun Wang Tunai dan Akaun Pelaburan boleh dibelanjakan oleh Kerajaan Persekutuan kerana bukan semua wang tersebut tergolong dalam Akaun Hasil Disatukan.

Hanya Akaun Hasil Disatukan sahaja yang boleh digunakan untuk perbelanjaan Kerajaan Persekutuan.

Kedudukan Akaun Wang Tunai dan Akaun Pelaburan, yang telah dijumlahkan, antara 31 Disember 2017 dan 30 April 2018 adalah seperti berikut:

WANG HASIL DISATUKAN 1
Untuk mendapat gambaran sebenar kedudukan Kumpulan Wang Disatukan dengan sepenuhnya, komposisi Kumpulan Wang Disatukan bagi tempoh 31 Disember 2017 sehingga 30 April 2018 adalah seperti berikut:

WANG HASIL DISATUKAN 2

Guan Eng menambah, jumlah dalam Akaun Hasil Disatukan telah menurun secara mendadak daripada RM11.86 bilion pada bulan Disember 2017 kepada RM5.73 bilion pada bulan Januari
2018, Februari 2018 (RM5.34 bilion), Mac 2018 (RM3.91 bilion) dan kemudiannya hanya RM450 juta pada April 2018.

Ia merupakan kemerosotan sebanyak 96 peratus atau RM11.41 bilion dalam tempoh empat bulan.

“Ini menunjukkan bahawa kerajaan yang terdahulu pimpinan Barisan Nasional telah berbelanja secara berlebihan sehingga berbilion ringgit setiap bulan menjelang Pilihanraya Umum Ke14,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Lantaran itu, Kerajaan Pakatan Harapan mengharungi lima bulan yang amat mencabar selepas 9 Mei 2018, tambah Guan Eng.

Katanya, walaupun Akauntan Negara Malaysia mengesahkan bahawa hanya RM450 juta sahaja tinggal di dalam Akaun Hasil Disatukan pada 30 April 2018 namun masih ada pihak yang tidak percaya.

“Ada pihak tertentu yang masih lagi percaya bahawa kerajaan lama Barisan Nasional telah menyerahkan Kerajaan Persekutuan pimpinan Pakatan Harapan berbilion ringgit di dalam Akaun Wang Tunai pada 30 April, 2018. Malangnya, ini tidak benar.

“Bukan semua wang yang berada di dalam Akaun Tunai boleh digunakan untuk perbelanjaan Kerajaan,” ujarnya.

Meskipun ditinggalkan dengan RM450 juta, Guan Eng mendakwa Kerajaan Pakatan Harapan masih berjaya menunaikan komitmen bulanan kewangan berjumlah RM8 bilion untuk pembayaran gaji dan pencen bulanan penjawat awam, termasuk pembayaran bonus. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.