Semua Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di negeri ini diminta mengadakan solat hajat bagi mendoakan agar anggota mereka, Wan Mohd Arif Wan Yahya, yang dikhuatiri lemas dan hilang di Sungai Paka dekat Kampung Durian Mentangau, Dungun, Jumaat lepas ditemui.

LABUAN – Seorang pengawas tingkatan empat di sebuah sekolah menengah di sini membuat laporan polis selepas mendakwa dia dibelasah empat pelajar tingkatan lima berhampiran dewan asrama sekolah pada Khamis lepas.

Mangsa yang berusia 16 tahun berkata ketika dia sedang berjalan seorang diri di kawasan lapang dalam kawasan perkarangan sekolah pada 5.47 petang, tiba-tiba dia didatangi empat pelajar tingkatan lima.

Mangsa mendakwa, mula-mula dia diserang oleh seorang pelajar dan kemudian diikuti pelajar yang lain, dan ketika kejadian itu, tiada pelajar atau guru di kawasan tersebut yang berlaku kira-kira 15 minit.

Ketua Polis Daerah Labuan Supt Muhamad Farid Ahmad berkata mangsa mengalami kecederaan patah jari akibat cuba mempertahankan dirinya selain kesan benjol di kepala, calar di bahagian leher dan sakit di bahagian tangan dan kaki.

Muhamad Farid berkata mangsa yang merupakan pengawas sekolah, mendakwa dia dipukul selepas membuat aduan kepada guru disiplin, bahawa pelajar senior berkenaan merokok di kawasan sekolah.

Beliau berkata guru sekolah tersebut telah menyerahkan kesemua pelajar itu pada 12 Okt lepas dan pelajar berkenaan direman empat hari bagi menjalankan siasatan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan.

Kesemua pelajar itu akan dibebaskan hari ini atas jaminan polis dan akan dipantau sementara menunggu arahan daripada pejabat timbalan pendakwa raya.

— BERNAMA