PKR

SHAH ALAM – Trend peratusan keluar mengundi di empat Pilihan Raya Kecil (PRK) baru-baru ini dan semalam, turut mempengaruhi pengundi dari kalangan ahli PKR yang keluar mengundi barisan kepimpinan parti hari ini.

Sehingga pusat pengundian ditutup jam 5 petang ini, semua sembilan cabang  bagi peringkat pertama pengundian di Selangor menyaksikan kehadiran pengundi merosot lebih separuh daripada jumlah keahlian yang layak mengundi.

Menurut laporan Sekretariat Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP), daripada sembilan cabang yang menjalani proses pengundian hari ini, hanya Cabang Sabak Bernam mencatatkan peratusan keluar mengundi agak tinggi, iaitu 26.39 peratus daripada 4,865 ahli berdaftar.

Ini diikuti Cabang Serdang 24.52 peratus daripada 8,347 ahli, Sepang 22.78 peratus (10,950), Sungai Besar 21.19 peratus (6,169), Kapar 19.67 peratus (19,093), Hulu Selangor 16 peratus (19,520), Subang 15.96 peratus (11,240) dan Kota Raja 15.89 peratus (15,308).

Semua pengundi, selain memilih calon jawatan Timbalan Presiden, mereka juga mengundi untuk memilih calon Naib Presiden, Ketua Wanita, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pusat, Majlis Kepimpinan Pusat (MPP) dan pemimpin peringkat cabang iaitu Ketua Cabang, Timbalan Ketua Cabang dan Naib Ketua Cabang.

Calon paling ramai bertanding merebut jawatan Ketua Cabang ialah Hulu Selangor yang menyaksikan pertandingan lima penjuru dan tujuh penjuru bagi jawatan Timbalan Ketua Cabang.

Cabang lain masing-masing dua dan tiga penjuru bagi semua jawatan dipertandingkan. – MalaysiaGazette