Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook berkata, dengan membatalkan makanan kepada tetamu kementerian, sehingga RM1 juta boleh dijimatkan setiap bulan.
Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook berkata, dengan membatalkan makanan kepada tetamu kementerian, sehingga RM1 juta boleh dijimatkan setiap bulan.

KUALA TERENGGANU – Tetamu di Kementerian Pengangkutan tidak lagi dijamu dengan makanan, tetapi hanya akan diberi secawan kopi.

Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, dengan membatalkan makanan kepada tetamu kementerian, sehingga RM1 juta boleh dijimatkan setiap bulan.

“Selepas menjadi menteri, barulah saya tahu bahawa perbelanjaan pejabat menteri adalah sangat banyak.

“Peruntukan untuk makan minum tetamu sahaja boleh mencecah satu dua juta ringgit,” katanya dipetik China Press semasa menghadiri satu aktiviti mengutip dana oleh DAP Terengganu.

Siew Fook berkata, menteri sebelumnya menerima kunjungan tetamu termasuk ahli parti seluruh negara hampir setiap hari.

“Perbelanjaan untuk seorang tetamu menteri boleh mencecah RM80 hingga RM100.

“Keadaan ini tidak boleh berterusan kerana perbelanjaan setiap kementerian perlu dikurangkan 10 hingga 20 peratus. Perbelanjaan menteri juga harus dikurangkan,” katanya.

Siew Fook berkata, ahli DAP yang mengunjunginya tidak meminta diberi makanan, tetapi hanya mahu air mineral.

“Kementerian Pengangkutan juga ada menyediakan kopi kepada tetamu. Ini dapat mengurangkan perbelanjaan,” katanya yang juga Setiausaha Organisasi DAP.

Tambahnya, semua kementerian juga tidak lagi mengadakan aktiviti di hotel lima bintang untuk mengurangkan perbelanjaan. – MalaysiaGazette