Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengangkat sumpah sebagai ahli dewan rakyat pada persidangan Dewan Rakyat Parlimen di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 15 OKTOBER 2018.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengangkat sumpah di Dewan Rakyat sebagai Ahli Parlimen Port Dickson yang baharu.

Ia merupakan kali pertama bekas Timbalan Perdana Menteri itu kembali ke Parlimen selepas 2008, ketika memenangi  Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh.

Anwar yang memakai baju Melayu hitam dan bersongkok mengangkat sumpah pada pukul 10 pagi di hadapan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad turut hadir di Parlimen pagi ini.

 

MGF15102018_ANWAR ANGKAT SUMPAH02
Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim menandatangan perlantikan sebagai ahli dewan rakyat pada persidangan Dewan Rakyat Parlimen di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 15 OKTOBER 2018.

Sabtu lalu, Anwar mencipta kemenangan bergaya apabila menewaskan enam pencabarnya dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Port Dickson dengan majoriti 23,560 undi.

Beliau, 71, layak bertanding dalam PRK Parlimen Port Dickson selepas mendapat pengampunan diraja daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V pada 16 Mei lepas.

Undi majoriti diperoleh Anwar melebihi 17,710 undi majoriti yang diperoleh penyandangnya, Datuk Danyal Balagopal Abdullah yang mewakili PKR dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei lalu.

PRK bagi kerusi Parlimen Port Dickson diadakan selepas Danyal Balagopal meletakkan jawatan pada 12 September 2018 iaitu kira-kira empat bulan selepas PRU-14 berakhir bagi memberi laluan kepada Anwar bertanding PRK. – MalaysiaGazette