Anwar Ibrahim
Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap pada sidang media pada persidangan Dewan Rakyat Parlimen di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 15 OKTOBER 2018.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Port Dickson yang baru mengangkat sumpah akan mengusulkan penubuhan beberapa jawatankuasa pemilih berkaitan Dewan Rakyat.

Menurut Anwar, penubuhan itu bagi memastikan transformasi terhadap dewan tersebut dapat dilakukan segera.

“Kita akan usulkan beberapa jawatankuasa pemilih meneliti cadangan dan kemukakan pandangan baru sekiranya perlu berbincang dengan pimpinan kerajaan.

“Tugas kita sekarang adalah untuk memantapkan perjalanan Parlimen, menyokong kerajaan sekarang di bawah pimpinan Tun Mahathir,” katanya dalam sidang media di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar sah menjadi Ahli Parlimen Port Dickson apabila mengangkat sumpah pada pukul 10 pagi di hadapan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof.

Hadir menyaksikan upacara itu adalah Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di bahagian pembangkang.

Ditanya perasaan beliau setelah memasuki Dewan Rakyat, Anwar berkata, beliau teruja dan akan menikmati saat-saat sebagai Ahli Parlimen.

“Gembira, saya pernah dinafikan hak dari masa ke semasa sehinggalah berlakunya Pilihan Raya Kecil Port Dickson.

“Saya gembira kerana duduk sebelah Kit Siang, sudah lama dulu duduk sebelah dia juga,” katanya di hadapan lebih 50 wartawan di bilik sidang media di Dewan Rakyat.

Dalam pada itu Anwar berkata, beliau tidak akan memegang jawatan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan.

Ujarnya, beliau lebih selesa untuk memegang jawatan Ahli Parlimen dan fokus kepada pembaharuan Parlimen

“Tidak (tidak akan dilantik sebagai Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan). Saya hanya penyokong Ketua Whip sahaja,” katanya. -MalaysiaGazette