Bekas Menteri Luar yang juga Ahli Parlimen Barisan Nasional, Datuk Seri Anifah Aman mengumumkan keluar UMNO.
Anifah Aman

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman hari ini menegur Datuk Saifuddin Abdullah mengenai bidang pentadbiran dan dasar kementerian itu.

Menurut Anifah (Kimanis – Bebas), pengenalan dasar luar Malaysia Baharu telah pun wujud sebelum ini.

Tambah beliau, dasar itu dilaksanakan seolah-olah Pakatan Harapan (PH) ingin mengatakan Malaysia sebelum ini tidak mempunyai dasar luar.

“Saya agak bimbang apabila Menteri Luar kata mahu perkenalkan dasar Malaysia Baharu. Saya ingat yang baru cuma menteri saja, dasar ini memang wujud.

“Ini seolah-olah Malaysia sebelum kerajaan PH tidak mempunyai dasar. Nasihat saya kepada Menteri Luar, ambil masa untuk memperkasakan Wisma Putra, bincang dengan pegawai,” katanya  dalam perbahasan hari pertama Sidang Kedua penggal pertama Dewan Rakyat hari ini.

Anifah berkata demikian ketika membahaskan usul menentukan hala tuju dasar luar Malaysia.

Perkara itu dinyatakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam ucapannya pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) ke-73 di New York, September lalu.

“Ini nasihat saya sebagai bekas Menteri Luar kepada YB, sebelum berucap belajar dulu. Kalau balik ke kawasan cakap begini mungkin boleh diterima.

“Tetapi di sini, malangnya mantan Menteri Luar secara kebetulan ada di dewan,” bidas Anifah.

Dalam pada itu, Anifah turut menegur kenyataan Saifuddin bahawa terdapat perbezaan antara memperkenalkan dasar baharu dengan cadangan baharu oleh beliau.

“Menteri kata untuk perkenalkan dasar baharu, itu tidak begitu tepat. Kalau YB ada cadangan, itu baru kita terima.

“Memang kebiasaannya kalau ada menteri baharu akan memperkenalkan sesuatu. Itu saya takkan sanggah,” katanya. -MalaysiaGazette