Datuk M. Sambanthan

KUALA LUMPUR – Jika semalam, parti Gerakan menyatakan sokongan selain berkempen untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim di Port Dickson baru-baru ini, kini Barisan Kemajuan India SeMalaysia (IPF) menyatakan sokongan sama.

Menurut Presiden IPF, Datuk M. Sambanthan kepada MalaysiaGazette, beliau dan partinya amat teruja dengan kehadiran Anwar ke Parlimen, sekali gus bakal menjadi Perdana Menteri ke-8 kelak.

Kata Sambanthan, rata-rata masyarakat India ketika ini ‘haru biru’ dengan masa depan mereka apatah lagi pelbagai program berkaitan kebajikan mereka dihentikan atau ditangguhkan berikutan keadaan ekonomi tidak baik.

Jelasnya, ramai malah hampir 90 peratus menyokong kepimpinan Anwar meliputi kalangan kepimpinan Barisan Nasional (BN) kerana mereka mahu ‘sesuatu’ dilakukan khasnya untuk masyarakat India.

“Terus terang saya katakan, sokongan IPF untuk Anwar adalah 100 peratus seandainya beliau mampu menjadi ‘suara’ kepada masyarakat India di negara ini. Ahli kami sahaja dalam 138,000 orang akan menyokong anda.

“Kami juga amat yakin dengan kredibiliti serta kepimpinan beliau kerana selama ini sokongan tidak berbelah bahagi telah diberikan kepadanya.

“Malah saya ingin kongsikan di sini, ketika beliau menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, IPF telah banyak mendapat manfaat serta peruntukan daripada beliau.

“Semua itu juga dilakukan oleh Anwar kerana mahu membantu kaum India ketika itu lagi. Saya yakin kehadiran beliau kembali ke kancah politik boleh bantu memartabatkan kehidupan serta kebajikan kami,” katanya.

MGF15102018_ANWAR ANGKAT SUMPAH01
Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengangkat sumpah sebagai ahli dewan rakyat pada persidangan Dewan Rakyat Parlimen di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 15 OKTOBER 2018.

Sabtu lepas warga Port Dickson memberi isyarat jelas bahawa mereka juga mahu melihat Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri yang kelapan.

Malah dengan majoriti kemenangan luar biasa yang diperoleh Ketua Umum PKR itu iaitu 23,560 undi membuktikan segelintir pakar dan penganalisis politik ‘salah’ dalam analisis mereka.

Semalam, Presiden Gerakan, Datuk Seri Mah Siew Keong melahirkan keyakinan dan rasa teruja sekembalinya Anwar ke Parlimen kerana agenda reformasi dan transformasi yang bakal dibawa olehnya diyakini rakyat.

Tambah Sambanthan yang juga merupakan Ahli Dewan Negara, beliau berharap Anwar dapat memberi keutamaan dalam isu berkaitan pendidikan, sosio ekonomi masyarakat India.

“Ketika zaman Tun Mahathir dahulu, peluang untuk golongan pelajar India masuk ke universiti dan matrikulasi kurang, ianya berubah apabila Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri. Kini semua itu ditangguhkan pula.

“Kita tidak begitu pasti dengan hala tuju malah kepimpinan yang ada kini juga tidak banyak memberi petunjuk atau isyarat apakah yang akan berlaku dengan program-program yang diusahakan oleh kerajaan terdahulu demi kebaikan masyarakat India.

“Mohon Anwar beri sedikit perhatian apatah lagi yang menyokong beliau rata-ratanya adalah kaum India malah parti beliau, PKR juga hampir 70 peratus dalam kalangan masyarakat India. Anda tentu faham dengan perit keluh kesah kami,” ujarnya. – MalaysiaGazette