PETALING JAYA – Seorang lelaki cedera ditembak di hadapan sebuah kedai serbaneka 24 jam di persiaran Tropicana, Kota Damansara, di sini petang tadi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohd Zani Che Din berkata kejadian itu berlaku kira-kira 4.50 petang di lokasi kejadian.

Beliau berkata ketika itu mangsa baru sahaja selesai membeli rokok di kedai serbaneka itu sebelum secara tiba-tiba ditembak oleh seorang suspek.

“Mangsa yang berumur 35 tahun itu, cedera di bahagian perut dan polis percaya suspek telah melepaskan sebanyak tiga das tembakan ke atas mangsa.

“Suspek melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta berwarna putih,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.- BERNAMA