Mahathir
Dr. Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri berkata sistem pengeluaran visa yang dikawal oleh China menjadi punca kepada kemerosotan kemasukan pelancong negara itu ke negara ini.

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan akan berusaha untuk memastikan masalah tersebut dapat diatasi dengan kadar segera.

“Memang pelancong perlu bayar untuk visa dan sebagainya. Pengeluaran visa ini dibuat di negara China sendiri dan ada kekurangan khidmat ini yang perlu dibaiki.

“Kita akan tentukan supaya harga yang dibayar tidaklah terlalu tinggi dan kita juga akan menentukan supaya pengeluaran visa ini dilakukan dengan lebih pantas, dengan lebih cepat,” katanya menjawab soalan lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Dr Mahathir berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (Ayer Hitam- BN).

Dalam soalannya, Ka Siong memohon penjelasan kerajaan Pakatan Harapan (PH) berhubung dakwaannya daripada media bahawa peratusan pelancong dari China turun mendadak.

Daripada laporan media itu, jumlah pelancong China jatuh sebanyak 35 peratus.

Ada juga yang mendakwa penurunan jumlah pelancong itu adalah yang pertama kali berlaku dalam sejarah negara. – MalaysiaGazette.