Zuraida Kamaruddin
Zuraida Kamaruddin

KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang mengkaji secara menyeluruh berhubung pemberian elaun kritikal kepada anggota pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat di seluruh negara.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, langkah tersebut dilakukan ekoran anggota pasukan berkenaan kini telah menerima banyak elaun.

Bagaimanapun katanya, menyedari hakikat bahawa pasukan berkenaan merupakan nadi penting dalam negara ia wajar diberikan perhatian.

“Anggota-anggota bomba ni ada banyak elaun selain dari PPDA (Pasukan Penyelamat Dalam Air).

“Sejak saya mengambil alih kementerian ini memang isu ini telah dibangkitkan. Saya cuba mengenengahkan lagi supaya keseluruhannya ditingkatkan.

“Ini semua masih dalam proses dan perlu kajian daripada JPA untuk teliti tangga gaji dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan, Tan Sri Annuar Musa (BN-Keterah) pada sesi soal jawab menteri di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Zuraida berkata, bomba merupakan satu pasukan yang melaksanakan tugas dengan berdepan risiko yang sangat tinggi.

“Orang tersepit dalam lif, orang nak bunuh diri, orang lemas, terbakar semua adalah beban kepada anggota bomba.

“Sebab itu kita minta Kabinet mempertimbangkan perkara ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Zuraida mengakui Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk pasukan penyelamat dalam parit monsun masih belum jelas.

Katanya, pasukan berkenaan perlu mengkaji terlebih dahulu sebelum mereka menjalankan sesuatu misi menyelamat. – MalaysiaGazette