Perbicaraan kes pelakon dan pengarah terkenal Datuk Farid Kamil Zahari yang didakwa menampar anggota polis trafik hari ini ditangguhkan berikutan peguam yang mewakili Farid Kamil mengalami kemalangan jalan raya.
Farid Kamil Zahari

PETALING JAYA – Jabatan Peguam Negara menolak representasi pelakon dan pengarah Datuk Farid Kamil Zahari untuk menggugurkan lima pertuduhan jenayah yang dihadapinya.

Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Firdaous Mohamed Idris memaklumkan perkara itu semasa sebutan kes Farid Kamil, 37, di hadapan Majistret Nor Ariffin Hisham.

Mahkamah kemudiannya mengekalkan tarikh perbicaraan selama lima hari bermula 27 Nov depan.

Farid Kamil ketika ditemui pemberita di luar mahkamah berkata beliau akan menghantar representasi kedua secepat mungkin.

“Kita terima keputusan yang telah ditetapkan dan perbincangan akan dilakukan bersama peguam saya untuk mengemukakan representasi untuk kali kedua,” kata pelakon itu.

Pada 16 Jan lepas, Farid Kamil mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan iaitu dua pertuduhan mendatangkan cedera, menggunakan kekerasan jenayah dan berkelakuan tidak senonoh dengan mengeluarkan perkataan kurang sopan di Balai Polis Trafik Kota Damansara.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, Farid Kamil didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas Ashraf Ahmad, 35, seorang eksekutif akaun syarikat swasta dan Konstabel Muhammad Nizam Jamaluddin, 24, seorang anggota polis.

Bagi pertuduhan ketiga, Farid Kamil dituduh menggunakan kekerasan jenayah terhadap Muhammad Nizam sebagai seorang penjawat awam yang sedang menjalankan tugas sebagai pegawai polis dengan niat menghalang beliau menjalankan tugasnya yang sah di sisi undang-undang.

Bagi pertuduhan keempat, dia didakwa berkelakuan tidak senonoh di dalam balai polis dengan mengeluarkan perkataan kurang sopan kepada Muhammad Nizam.

Pada 25 Jan, Farid Kamil turut mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menggunakan dadah jenis tetra hydrocannabinol atau THC.

— BERNAMA