PUTRAJAYA – Bukan mudah untuk mengekalkan kedudukannya sebagai kilang percetakan al-Quran yang kedua terbesar di dunia, selepas Madinah, Arab Saudi.

Bagi Nasyrul Quran, tanggung jawab yang dipikul amat berat kerana elemen kesucian setiap naskhah al-Quran yang dihasilkan di kilangnya perlu diutamakan.

Untuk menjamin mutu yang tinggi, setiap ejaan, baris dan maksud akan diperiksa oleh kakitangan yang bertauliah dalam ilmu al-Quran, manakala pekerja tetap di kompleks ini juga merupakan pelajar lulusan tahfiz.

Proses pemeriksaan itu dilakukan dengan teliti – sebanyak tiga kali, iaitu sebelum terhasilnya al-Quran, demikian menurut Ketua Pegawai Eksekutif Nasyrul Quran, Datuk Abdul Latif Mirasa semasa memberi taklimat kepada para pelawat ke kompleks itu baru-baru ini.

Antarannya termasuk 22 orang anggota Persatuan Wartawan Wanita Malaysia (Pertama) diketuai Presidennya Sariha Mohd Ali.

PENYEBARAN QURAN

Pusat ini yang beroperasi sejak pertengahan tahun lalu bukan sahaja berfungsi sebagai pusat percetakan tetapi juga sebagai pusat penyelidikan, pentafsiran, penterjemahan dalam pelbagai bahasa, penerbitan dan pengagihan al-Quran.

Nasyrul al-Quran yang bermaksud penyebaran al-Quran telah menarik lebih daripada 40,000 orang tetamu dan pelawat sejak ia beroperasi di Presint 14 di sini.

Kompleks bernilai RM60 juta yang terletak di atas tanah seluas 2.09 hektar ini dikendalikan oleh Yayasan Restu yang ditubuhkan sebagai sebuah NGO di Pulau Pinang sejak 1988.

Abdul Latif berkata yayasan itu mempunyai 11 cabang kesenian Islam termasuklah sebuah kolej kesenian Islam yang beroperasi di Shah Alam, Selangor.

Berpengalaman dalam penghasilan mushaf salinan tangan selama 23 tahun, Yayasan Restu mampu mencetak sejuta naskhah al-Quran setahun untuk keperluan wakaf dalam negeri (70 peratus) dan minoriti Muslim di luar negara (30 peratus), katanya.

LEBIH 100 MASJID DIBINA

Abdul Latif berkata, sehingga kini, Yayasan Restu telah membina lebih 100 masjid di Malaysia, antaranya di Pangkor, Shah Alam dan Hotel Muzaffar lima bintang di Melaka.

Menurut Pengurus Produksi di bahagian percetakan Nasyrul Quran, Roslain Mat, pusat itu menyasarkan pengeluaran 3 juta naskhah al-Quran setahun dengan pertambahan mesin pencetak.

Beliau berkata pusat itu yang mempunyai 70 orang tenaga kerja, mencetak 80,000 hingga 100,000 al-Quran sebulan.

Sebanyak 450,000 naskhah al-Quran dan 250,000 naskhah surah yasin serta surah terpilih telah dicetak sejak ia beroperasi. Kini hampir 350,000 naskhah al Quran dan 190,000 naskhah yasin telah diedar, katanya.

Roslain berkata penulisan tangan dihasilkan oleh pihak ustaz, manakala pewarnaan oleh ustazah kerana tugasan tersebut memerlukan ketekunan dan kesabaran.

20 PENYEMAK AL-QURAN

“Terdapat 20 penyemak al-Quran di sini, dan setiap hari mereka mengambil masa 2 hingga 4 jam untuk menyemak 16 muka surat. Team inilah yang akan meletakkan cop Kementerian Dalam Negeri pada setiap naskhah Al-Quran selepas selesai semakan.

“Mesin pencetak di sini mampu menghasilkan 12,500 helai al-Quran setiap satu jam, dan setiap proses adalah melalui QC (kawalan mutu),” kata Roslain.

Mesin yang dimport dari negara China, Jepun dan Jerman itu mempunyai sistem mengimbas kesalahan ejaan pada setiap helaian al-Quran dan mengenal pasti kerosakan, kata Roslain.

Terdapat pelbagai al-Quran cetakan Nasyrul Quran dan Yayasan Restu yang hanya boleh didapati secara online. Antaranya termasuk Al-Quran Perkata, Al-Quran Tajwid Berwarna dan Al-Quran Terjemahan Jawi.- BERNAMA