KUALA LUMPUR – Ringgit mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada awal dagangan hari ini.

Ringgit disokong permintaan lebih baik terhadap mata wang tempatan itu, di tengah-tengah data ekonomi tidak memuaskan dari AS.

Pada 9.02 pagi, ringgit berada pada 4.1510/1540 berbanding dolar AS daripada 4.1540/1580 semalam.

Peniaga berkata, permintaan terhadap ringgit dirangsang penyusutan dalam dolar AS, susulan data jualan peruncitan September negara itu yang lebih lemah daripada jangkaan.

“Tambahan lagi, pengukuhan harga minyak global turut membantu melonjakkan sentimen terhadap ringgit,” katanya.

Penanda aras dagangan hadapan minyak mentah Brent bagi penghantaran Disember menokok sembilan cent kepada AS$80.87 satu tong, manakala West Texas Intermediate (WTI) bagi penghantaran November naik lima cent pada AS$71.83 satu tong.

Sementara itu, ringgit didagangkan kebanyakannya lebih kukuh berbanding mata wang utama lain, kecuali dolar Singapura, yang mana ia susut kepada 3.0180/0213 daripada 3.0171/0205 penutup Isnin.

Ringgit menokok berbanding yen kepada 3.7099/7129 daripada 3.7176/7225, mengukuh berbanding euro kepada 4.8102/8141 daripada 4.8132/8187 dan menokok berbanding pound British kepada 5.4611/4654 daripada 5.4617/4690.- BERNAMA