Fuzi Harun
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun. foto FAREEZ FADZIL, 16 OKTOBER 2018

KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun menolak wujudnya unsur sabotaj melibatkan seorang tahanan warga Perancis fahaman Salafi Jihadi yang maut dalam kemalangan di Bukit Beruntung Jumaat lepas.

Mickael Alain Louvier yang terbabit dalam kemalangan di Km 428.3 Lebuhraya Utara-Selatan (arah selatan) berhampiran Bukit Beruntung dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan susulan.

Bagaimanapun, beliau meninggal dunia semalam di hospital itu kerana kecederaan parah.

Jelas Fuzi, kejadian yang menimpa seorang daripada lapan suspek yang ditahan di Perlis kerana disyaki terlibat dalam fahaman Salafi Jihadi itu hanya kemalangan biasa yang tidak dapat dielakan.

Malah kemalangan itu turut membabitkan anggota plis yang mengalami cedera parah.

“Tidak ada unsur sabotaj. Tohmahan ini langsung tidak berasas. Kenderaan tersebut terbabas kerana tayar bahagian kanan van meletup sebelum melanggar pembahagi jalan.

“Bukan sahaja suspek malah anggota kita turut terpelanting keluar daripada kenderaan. Hari hujan, kenderaan lama, anggota kita juga terpelanting selepas berlanggar dengan pembahagi jalan. Cuma suspek gagal diselamatkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman di antara Bank Muamalat Malaysia Berhad dan Yayasan Pengaman Malaysia di Hotel Istana hari ini.

Jumaat lalu, van yang dinaiki tujuh anggota polis bersama empat tahanan itu terbabas dipercayai akibat jalan licin.

Kesemua yang cedera dihantar ke HSB, Hospital Selayang dan Hospital Kuala Kubu Bharu untuk rawatan.

Van berkenaan dalam perjalanan dari Perlis menuju ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur.

Difahamkan jenazah Louvier dihantar ke Perlis untuk dikebumikan.

Suspek adalah antara lapan lelaki ditahan di beberapa negeri bulan lepas kerana disyaki terlibat dalam kegiatan pengganas.

Pada 24 September lepas, Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman dalam operasi di Perlis, Kuala Lumpur dan Johor, menahan mereka kerana disyaki terlibat dalam tindakan yang memudaratkan ketenteraman awam dan keselamatan persekutuan.

Fuzi berkata, kesemua suspek mempunyai hubungan dengan sebuah pusat pengajian Islam di Perlis sama ada sebagai pelajar, bekas pelajar atau bekas tenaga pengajar.

Bagaimanapun, beliau tidak mengulas dengan lebih lanjut berhubung pusat tersebut atau mendedahkan maklumat tahanan serta suspek ketika ini. – MalaysiaGazette