Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi menghadapi beberapa pertuduhan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 berhubung kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) di Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 20 SEPTEMBER 2018
Najib Razak

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak mempersoalkan dengan dua janji yang dibuat
kepada anak muda dan pengundi Sabah dan Sarawak semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu.

Bekas Perdana Menteri itu turut bertanya apakah rancangan kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk menjana satu juta pekerjaan dengan gaji minimun RM2,500.

Ini kerana setakat ini, kadar gaji minimum yang diluluskan selepas PRU-14 lalu hanya RM1,050 sahaja.

“Apa dah jadi dengan janji untuk membayar balik 50 peratus daripada hasil cukai-cukai yang dikutip dari Sabah dan Sarawak?,” tanya beliau lagi.

Najib berkata, semasa menerajui kerajaan sebelum ini, beliau banyak beri tumpuan kepada Sabah dan Sarawak daripada segi projek pembangunan, hak-hak dan peruntukan kerana kedua-dua negeri itu tidak diberi layanan yang adil sebelum itu.

Jelasnya, Sabah dan Sarawak sentiasa dekat dengan hatinya.

“Sokongan dari Sabah dan Sarawak adalah amat penting untuk kemenangan PH pada PRU-14. Tanpa kemenangan di dua tempat itu, PH tidak mungkin akan menang,” katanya.

Oleh sebab itu, katanya, kerajaan baharu perlu membalas sokongan pengundi-pengundi Sabah dan Sawarak ini dengan memenuhi janji-janji khusus yang dibuat pada PRU lalu.

“Pemimpin yang memahat janji untuk memulangkan 50 peratus hasil cukai ini sudah menjadi Menteri Kewangan dan kini dia ada kuasa untuk memenuhi janjinya. Rakyat Sabah dan Sarawak patut tuntut dari dia.

“Janji-janji yang diberi dalam ceramah-ceramah, sidang akhbar ataupun kenyataan akhbar mereka patut ditepati juga, ” tambah Najib lagi.

Kerajaan PH, kata Najib, jangan mengambil kesempatan untuk menipu rakyat yang tidak membaca buku manifesto yang begitu tebal itu.

Menurut beliau, jika berani menabur janji di depan pengundi dengan penuh yakin, maka
tepatilah janji itu dengan yakin juga. – MalaysiaGazette