Menteri Pendidikan, Maszlee Malik (kiri) mengetuai Mesyuarat Jawatankuasa Kajian Dasar Pendidikan Negara (JKKDPN) pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 18 OKTOBER 2018
Menteri Pendidikan, Maszlee Malik (kiri) mengetuai Mesyuarat Jawatankuasa Kajian Dasar Pendidikan Negara (JKKDPN) pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 18 OKTOBER 2018

KUALA LUMPUR – Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, beliau berkira-kira mahu meninggalkan kementerian yang diterajuinya sekarang dan memfokuskan kepada sesuatu yang baharu di kementerian lain selepas lima tahun akan datang.

Tambahnya, beliau tidak berazam untuk terus memegang jawatan Menteri Pendidikan selama tempoh perkhidmatan lima tahun berakhir kelak.

“Lepas lima tahun saya mungkin tidak jadi Menteri Pendidikan lagi.

“Kalau boleh nak pindah kementerian lain, kita sudah laksanakan sesuatu kita akan buat perubahan di tempat (kementerian) lain pula,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Jawatankuasa Kajian Dasar Pendidikan Negara (JKKDP).

Beliau menjawab soalan tentang perancangan yang akan dibentangkan oleh jawatankuasa terbabit dalam masa lima tahun akan datang.

“Itu kita tunggu menteri pendidikan yang baharu nanti. Kecuali saya kekal di Kementerian Pendidikan, saya akan buat kenyataan pada waktu itu,” katanya lagi.

JKKDP diberikan kuasa untuk mengkaji dasar pendidikan negara.

Ia bagi memberikan stor dari sudut kajian bebas melalui perspektif ahi jawatankuasa mengenai pelaksanaan dasar pendidikan negara.

Sepanjang memegang jawatan Menteri, Maszlee sering kali membuat kenyataan kontroversi biarpun baru memegang jawatan itu selama 5 bulan.

Pada Julai lalu, beliau dikritik hebat oleh para ibubapa berhubung pelaksanaan pemakaian kasut hitam bagi semua murid sekolah bermula tahun hadapan.

Bagaimanapun, tiga bulan kemudian Maszlee pula berkata pelaksanaan pemakaian kasut hitam untuk murid sekolah rendah dan menengah di seluruh negara hanya akan berkuat kuasa sepenuhnya mulai 2021.

Kementerian Pendidikan menjelaskan keputusan berkenaan diambil selepas mempertimbangkan pandangan semua pihak berkepentingan, merangkumi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), murid, pentadbir sekolah, pertubuhan bukan kerajaan dan pembekal.

Terbaharu, Maszlee turut berkata penetapan warna stoking terhadap pelajar sekolah.

Ujarnya, perkara itu akan diputuskan selepas perbincangan dengan pihak berkepentingan selesai.

Kenyataan Maszlee turut mendapat perhatian bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Najib secara sinis mengkritik pendekatan diambil menteri pendidikan Maszlee Malik susulan cadangannya untuk menukar warna kasut dan stoking sekolah.

Malah Ahli Parlimen Pekan itu turut mengharapkan Maszlee turut mengkaji warna baju, warna bangunan sekolah. – MalaysiaGazette