Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim
Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Port Dickson merangkap Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan rasa gembira dengan komitmen kerajaan yang mahu melakukan reformasi menyeluruh sistem pemerintahan negara.

Reformasi yang disebutkan oleh bakal Perdana Menteri ke-8 itu termasuk reformasi badan kehakiman sehingga ke perkhidmatan awam yang pernah menjadi inisiatif beliau ketika menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri dahulu.

Jelas Anwar, beliau amat menghargai komitmen negara dengan program-program yang diusulkan sangat mantap dan penting untuk pertumbuhan negara serta rakyat.

Malah kata beliau, pembentangan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) 2016-2020 oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebenarnya sangat bernas dan tegas dalam komitmen reformasi kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Reformasi ini menunjukkan komitmen Tun Mahathir dan kerajaan PH dalam menunaikan janji utama iaitu reformasi menyeluruh sistem pemerintahan daripada badan kehakiman kepada perkhidmatan awam.

“Ini adalah komitmen paling tegas dan bernas oleh kerajaan kepada rakyat. Saya amat gembira dan mengalu-alukan pembentangan ini,” katanya di lobi Parlimen sejurus selepas pembentangan RMK11 itu kepada pemberita.

Anwar juga menyifatkan pembentangan RMK11 ini membuktikan cara pengendalian ekonomi oleh kerajaan baharu lebih telus selain daripada penolakan rasuah secara tegas dan matang.

“Ini yang ditungu-tunggu oleh rakyat. Ini juga adalah cara terbaik untuk memartabatkan rakyat dan negara,” ujarnya.

Sementara itu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamad Azmin Ali berkata, dengan cabaran yang sedang dihadapi ketika ini kerajaan baharu memerlukan pendekatan lebih strategik.

“Saya rasa sangat gembira dengan pembentangan RMK11 oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kerana ini adalah dokumen reformasi yang komprehensif.

“Langkah ini ke arah meletakan negara dalam landasan yang betul apatah lagi kini cabaran-cabaran baharu dihadapi oleh negara,” ujarnya. – MalaysiaGazette